Siti Fazurina Bahagia



Kontroversi perkahwinan tidak mendapat restu keluarga pada 20 Disember 2012 lalu tidak melemahkan semangat pelakon Siti Fazurina untuk terus bergiat aktif dalam bidang yang diceburinya.

Malah, perkahwinan yang dibina bersama suami tercinta Muhammad Hykal Zulkifli, 32, yang sudah berusia lebih setahun itu cukup bahagia.





Wanita berusia 31 tahun yang mesra disapa Nina ini berkata, selepas berkahwin dia masih lagi aktif berlakon drama termasuk mendapat peluang menjadi pengacara untuk sebuah program TV selain turut berjinak-jinak dalam pementasan teater bersama Kumpulan Bangsawan Seri Kedah.

“Saya bersyukur kerana suami banyak membantu selain dorongan daripada sanak-saudara termasuk keluarga mentua. Kini saya juga aktif menjalankan perniagaan pakaian secara dalam talian (online) iaitu NinaFazurina Collection.


“Selain itu, saya turut menghasilkan skrip dan ada yang sudah disiapkan. Insya-Allah jika ada peluang dan rezeki mungkin ia akan dijadikan drama tidak lama lagi,” katanya.


Nina berkata, fokus utamanya kini ialah kepada NinaFazurina Collection yang diusahakan bersama sepupunya, berkonsep­kan pakaian muslimah termasuk tudung, baju dan lain-lain.

Selain itu, dia turut menjalinkan kerjasama dengan Teratak Spa milik Nooliza Othman di Bayan Baru, Pulau Pinang dengan mengadakan Bengkel Penampilan Diri dan Alat Solek.

Nina juga bakal muncul dengan filem Hantu Bukit Cina arahan TS Jeffrey yang mula ditayang­kan Khamis ini. Turut berlakon dalam filem itu ialah Gambit Saifullah, Fouziah Gous, Amir Raja Lawak, Tengku Anis dan Kamarool Yusof.

“Filem itu menjalani penggambaran lima tahun lalu dan saya masih belum bertudung ketika itu. Saya harap peminat tidak mempertikaikannya apabila ia ditayangkan kelak,” katanya.

Menurut Nina, dia akan terus aktif dalam dunia lakonan yang diceburi sejak 12 tahun lalu kerana menganggap ia sudah menjadi darah dagingnya.
Previous Post Next Post