Syafie Naswip tukar prinsip


JIWA karakter lakonannya dalam naskhah drama dan filem, sudahpun terbukti. Sudah acap kali namanya disebut sebagai penerima anugerah. Bermula daripada Mukhsin sehinggalah yang terakhir Songlap, Syafie Naswip antara aktor masa depan yang cukup untuk disandarkan harapan.

Di sebalik pengiktirafan yang diterima remaja yang kini meningkat menjadi anak muda itu semakin kenal pembawaan diri sebagai pelakon.

“Dahulu saya selalu terikat dengan karakter. Apabila diberikan skrip, baca dan faham karakter, saya mula masuk dan membawa karakter itu dalam kehidupan saya sehingga terbawa-bawa di luar dari lokasi. Hendak berbual-bual kosong dengan kru atau pelakon lain pun risau, takut hilang fokus.




“Sekarang saya mula rileks, mungkin sebab sudah terbiasa dan selalu dapat input dan ilmu daripada pelakon-pelakon senior. Kalau dibiarkan sikap sebegitu boleh buat saya jadi sakit,” katanya saat ditanya tentang pembacaannya setiap kali menjayakan sesebuah watak.

Sudah hampir lapan tahun dalam industri, selama tempoh itu juga, Syafie mengalami fasa-fasa tertentu. Berusia 14 tahun ketika mengenal apa itu filem bersama Allahyarham Yasmin Ahmad, sehingga kini Syafie sudah menginjak usia 22 tahun.

“Sama ada seseorang pelakon itu mula berlakon ketika sudah dewasa, kanak-kanak atau awal remaja, semua orang ada survival tersendiri. Cuma baru-baru ini, saya bawa watak pelajar tingkatan empat dalam sebuah telemovie, saya anggap itu kerjasama yang tak boleh ditolak.

“Untuk saya, lama juga status pelakon kanak-kanak dan remaja itu melekat dalam diri saya. Kalau boleh saya mahu elak dan rasanya sudah hampir setahun saya tak bawa watak remaja belasan tahun. Jadi pelakon kena kuat. Syukurlah, saya jumpa orang-orang yang boleh kongsi ilmu dengan saya,” katanya yang baru selesai penggambaran drama Amarah untuk slot Kifarah di TV3.

Menyusur perkembangan terbaharunya, pelakon Oh! My English itu juga baru selesai penggambaran sebuah filem berjudul Gangster Rock dan sebuah telemovie yang menuntutnya melakonkan tiga watak sekali gus.

“Tajuknya Aku, Kau & Dia. Sebagai pelakon, saya selalu cari skrip yang menguji tapi sekarang, saya boleh pejam mata dengan prinsip untuk cari makan dalam industri. Sesekali dapat naskhah yang ‘sesuatu’ pun cukup untuk bakar semangat.

“Tapi berlakon filem Gangster Rock bersama pelakon-pelakon yang hebat macam Khir Rahman, Wan Hanafi Su dan Soffi Jikan buat saya cuak. Harapan agak besar. Sama macam dalam filem Rentap. Saya kena jadi gila-gila, satu watak yang memang tak pernah saya buat. Itu pun kira genre baharu, tengoklah nanti. Harap lakonan saya tidak menjengkelkan,” katanya yang bakal ke Kelantan untuk sebuah telemovie yang bercerita tentang pusat khusus untuk melatih beruk.

Pelakon penerima anugerah itu juga ternyata masih menyimpan rasa rendah diri. Dia sedar, tidak dikurniakan sosok tegap atau wajah jambu yang menjadi igauan gadis-gadis, namun di sebalik kesederhanaan yang dimiliki anak muda yang mesra dibahasakan Ayie itu berasa bahagia.

“Dahulu saya tak yakin untuk senyum nampak gigi sebab gigi depan saya agak jarang. Pernah juga saya terfikir hendak pakai pendakap gigi tapi arwah Yasmin cakap tak perlu kecuali melibatkan faktor kesihatan. Saya pernah ke gim untuk dapatkan tubuh yang agak berotot tapi tak berkesan jika tanpa diet. Sekarang saya okey dengan fizikal yang begini. Hero di Hollywood pun ada yang bertubuh kecil,” jelas Syafie baru kini kembali beraksi bersama heroin pertamanya, Sharifah Aryana menerusi drama bersiri Ride setiap hari Khamis pada 8.30 malam di TV9.
Previous Post Next Post