Tae Yang peluk peminat



SEJAK dari awal petang lagi peminat tegar Big Bang dilihat sudah berkumpul di hadapan pentas menantikan kemunculan tiga penghibur pujaan dari Korea Selatan itu.

Walaupun hujan rintik, namun ia tidak menghalang peminat yang hadir untuk terus menyaksikan persembahan hebat daripada 'boy band' tersohor dunia itu.

“Aku cinta padamu!” begitulah ungkapan yang diberikan oleh seorang ahli kumpulan Big Bang, Tae Yang yang mempunyai antara peminat teramai selepas G Dragon dan TOP.

Ucapannya itu disambut dengan sorakan dan laungan hampir 5,000 peminat yang membanjiri Sunway Surf Beach sejak awal petang lagi.

Bagaimanapun sebelum konsert bermula, acara beramah mesra dengan tiga peminat bertuah dimulakan terlebih dahulu. Aktiviti yang berlangsung sekitar jam 7 petang itu, dikendalikan G-Dragon (GD), Taeyang dan Seungri (SR) menerusi satu permainan yang digelar 'Dress Up'.

Ketiga-tiga peminat ini berpeluang bergandingan bersama artis kesayangan mereka sebelum memilih kostum comel untuk dipakai bersama.




Lebih menggamatkan suasana apabila Tae Yang memeluk mesra peminat yang juga pasangannya untuk permainan itu. Malah Seungri juga sangat sporting, walaupun mengalami masalah sakit tekak, namun dia tetap menghiburkan peminat dengan gelagatnya yang comel.

Dalam pada itu, dia turut menyanyikan lagu ulang tahun kelahiran sempena hari lahir peminatnya yang juga merupakan pasangannya di pentas itu. Tidak menunggu lama, konsert yang dinanti-nantikan itu akhirnya bermula.

Persembahan dimulakan dengan Taeyang menerusi empat lagu, iaitu Superstar, I Need A Girl, Only Look At Me dan Ringa Linga. Memberikan persembahan yang sangat bertenaga, ternyata kehadiran Taeyang mampu memberikan kepuasan kepada peminatnya.

Bagaimanapun, sebelum mengakhiri persembahannya, Taeyang sempat menyatakan rasa teruja kerana berpeluang bertemu peminatnya di sini, sekali gus meluahkan hasrat untuk kembali ke Malaysia dalam masa terdekat.

Tidak terhenti di situ, konsert dimeriahkan lagi dengan persembahan Seungri dengan beberapa lagu solo popular dendangannya, Let’s Talk About Love dan Gonna Talk To U. Diiringi penari wanita yang seksi dan cantik, Seungri meneruskan versi rancak dengan lagu Strong Baby versi remix, GGBE dan What Can I Do, yang ternyata menggamatkan lagi suasana di Sunway Surf Beach itu.

G-Dragon paling hebat Tidak lengkap konsert Thinking Of You, sekiranya tanpa persembahan daripada ketua ahli kumpulan Big Bang, G-Dragon yang tampil memukau dengan lagu hitnya, One Of A Kind, Go, Crayon dan Crooked.

Diiringi sorakan paling gemuruh, persembahan G-Dragon nyata tidak mampu membuatkan peminatnya terus berganjak meskipun hujan mulai lebat. Malah mereka sanggup turut menari sama tanda sokongan terhadap artis kesayangan mereka itu.

Lebih gamat, apabila kesemua ahli Big Bang bergabung meneruskan persembahan menerusi lagu Let’s Talk About Love dan Bad Boy.

Walaupun keadaan pentas dan seluruh ruang Surf Beach basah, namun ketiga-tiga bintang muda itu tetap meneruskan persembahan bertenaga hingga ke akhir konsert.

Memilih lagu Fantastic Baby sebagai lagu terakhir, Big Bang turut memanfaatkan masa yang ada dengan menyanyi bersama-sama peminat.

Sebelum beredar meninggalkan pentas, Big Bang bagaimanapun sempat berikan ungkapan ‘I Love U’ dan ‘Aku Cinta Padamu’ yang pastinya menjadi momen indah buat semua peminat yang hadir menyaksikan konsert
mereka pada malam itu.

Jom Layan Video Klip BIGBANG - FANTASTIC BABY
Previous Post Next Post