Ali, Mel seri karnival masjid

Perubahan imej bekas penyanyi XPDC, Ali dan bekas penyanyi Wings, Mel ternyata disambut baik oleh semua pihak.

Jika dulu mereka menghiburkan peminat dengan lagu berentak keras dan bertema cinta, kini mereka lebih senang menyampaikan lagu berkonsep keagamaan dan dakwah. 

Menerusi penampilan positif yang dibawa, kedua-dua mereka kerap dipilih ahli jawatankuasa masjid dalam penganjuran program bercorak keagamaan. 

Terbaru, Ali dan Mel terbabit menjayakan program Karnival Mesra & Cinta Masjid di Masjid Al Husna, Bandar Sunway, Petaling Jaya. Turut bersama mereka ialah bekas anggota Raihan, Nazrey Johani.





Foto

ALI, Mel dan Nazrey akan beraksi dalam Konsert Karnival Mesra & Cinta Masjid.


Program yang bermula sejak semalam hingga Ahad ini membariskan pelbagai program menarik buat pengunjung masjid seperti Bandar Sunway Berselawat, bacaan Yasin dan tahlil perdana, Forum Perdana, kuliah Maghrib dan Zuhur, program Convention ‘Al Hira’, kursus praperkahwinan perdana dan kursus pengurusan jenazah.


Aktiviti lain turut diadakan antaranya gerai pameran, jualan makanan dan minuman. Tidak ketinggalan diadakan ialah Konsert Karnival Mesra & Cinta Masjid yang menampilkan Ali, Mel dan Nazrey. 

Ali berkata, konsert itu berlangsung pada jam 9 malam Ahad ini. Ia julung kali menampilkan gandingan mereka bertiga untuk menghiburkan peminat. 

“Konsert bertemakan kerohanian ini diilhamkan Nazir Masjid Al Husna iaitu Ustaz Romizi Rabikin dan tujuan diadakan ialah untuk mengutip dana masjid. Ia dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ),” katanya. 

Menurut Ali, persembahannya dan Mel akan dibuat secara minus one manakala Nazrey akan beraksi secara akustik. 

“Kami akan memilih lagu yang bersesuaian dan mendidik pendengar. Saya boleh katakan persembahan ini sangat istimewa kerana kami bergandingan bersama di atas satu pentas. Peminat hanya perlu memberi sumbangan khas untuk menyaksikannya. 

“Selain persembahan, kami turut membuka gerai yang menjual koleksi lagu kami. Peminat yang ingin mendapatkannya boleh hadir ke sini bertemu kami,” katanya. 

Ali berkata, penganjuran karnival sebegini sememangnya bagus kerana dapat membentuk rangkaian usahawan Islam untuk menceburi bidang perniagaan. Selain itu, dia juga dapat memupuk minat pelbagai golongan untuk mendekati masjid.

Previous Post Next Post