SEJAK kelmarin, laman sosial kecoh memperkatakan tentang parti liar ‘Topless Friday Beach Party’ yang sepatutnya dijadualkan berlangsung esok, di sebuah kelab di Jalan Ampang.
Meskipun kelab tersebut diarah tutup oleh Dewan Bandar raya Kuala Lumpur (DBKL), ia bagaimanapun tidak mampu menghentikan pandangan negatif masyarakat terhadap 'industri seni' atas penganjuran acara tidak bermoral itu di saat negara masih terkesan dengan tragedi enam orang maut di Future Music Festival Asia (FMFA) serta kehilangan pesawat MH370 yang lalu.
Apatah lagi nama-nama DJ Malaysia tersenarai sebagai individu yang akan terlibat dalam parti bogel itu.
Namun, DJ yang dimaksudkan bukanlah dalam kalangan penyampai radio industri seni tetapi Video Disc Jockey yang selalunya mengendalikan acara hiburan di kelab-kelab malam.
Presiden Persatuan Karyawan, Datuk Freddie Fernandez tampil menjawab desas-desus yang mengatakan industri hiburan tidak sensitif terhadap musibah yang menimpa negara dengan kewujudan acara seperti ini.
“Kalau di negara Barat, parti-parti liar macam ni memang biasa. Tapi ini Malaysia, acara macam ni bukan budaya kita.
“Industri hiburan kita pun tak sokong benda-benda macam ni. Kita kena bagi hiburan yang baik kepada orang ramai, terutamanya anak-anak muda,” katanya.
Prihatin dengan kejadian enam orang maut di FMFA akibat penyalahgunaan dadah, Freddie bagaimanapun tidak setuju jika semua acara hiburan dihentikan dan semua kesalahan dilemparkan kepada penganjur.
“Kita prihatin dengan kejadian tersebut, tapi bukan penganjur yang harus dipersalahkan sepenuhnya jika acara itu ada permit.
“Saya cadangkan pihak berkuasa dan penganjur adakan kawalan ketat di setiap acara hiburan, periksa beg dan poket pengunjung yang datang supaya benda-benda terlarang tidak terlepas masuk ke dalam konsert dan sebagainya,” kata Freddie.
Tambah Freddie lagi, walaupun negara masih bersedih atas tragedi kehilangan pesawat MH370, aktiviti industri hiburan tetap harus berjalan.
“Memang kena kurangkan aktiviti hiburan sebab kita pun kena hormat tragedi yang berlaku. Cuma kalau boleh buatlah secara sederhana, bukannya hentikan terus.
“Saya tak nafikan kita semua masih bersedih, tapi hidup mesti diteruskan. Ada ramai orang cari rezeki dan bergantung hidup pada industri hiburan, jadi tak patutlah sesuatu acara tu terus dihentikan asalkan ia tidak melampaui batas,” katanya.
Salah seorang orang kuat industri hiburan tanah air, Jurey Latiff menyifatkan penganjuran parti liar seperti ini akan menjejaskan nama baik Malaysia dan agama Islam.
“Saya harap pihak berkuasa kaji balik ikut keperluan kalau nak keluarkan permit untuk acara-acara hiburan. Negara kita memang berbilang kaum dan agama, bukan ada orang Islam sahaja tapi parti tak ada permit macam ni memang patut dibatalkan sebab memalukan
negara dan agama.
“Stesen TV dan radio pun dah kurangkan hebahan tentang aktiviti hiburan sebab hormat tragedi MH370 dan FMFA. Pihak penganjur kena sensitif dan ambil iktibar daripada kejadian yang berlaku,” katanya.