WATIE Elite, Ani Mayuni dan Fazli Zainal antara artis yang menyertai Kempen Larian Hapuskan Rasuah.
Demi masa depan Malaysia yang lebih ‘sihat’ dan maju, barisan artis popular akan bersama-sama dalam acara yang menyokong ke arah negara bebas rasuah menerusi Kempen Larian Hapuskan Rasuah yang akan diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur bermula jam 7.30 pagi, Ahad ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka akan melancarkan acara itu seterusnya bersama-sama dalam acara larian sejauh lima kilometer itu.
Presiden Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez berkata, acara sebegini wajar disokong dan beliau begitu berbangga kerana ia berjaya mendapat perhatian golongan anak seni untuk turut serta secara sukarela.
“Artis yang dibawa KARYAWAN ini akan bersama-sama dengan orang ramai serta pemimpin kita untuk menyertai larian ini. Ini adalah sebagai satu medium dalam kalangan anak seni untuk menyatakan sokongan kepada usaha kerajaan dalam kempen pembanterasan atau antirasuah,” katanya.
Antara artis yang mengesahkan untuk turut serta dalam larian amal ini ialah pelakon Erry Putra, Azza Elite, Watie Elite, Joey Exists, Roslan Shah, Ani Maiyuni, Fazli Zainal dan ramai lagi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur acara berkenaan, Datuk Tan Lian Hoe berkata, acara larian khas ini bertujuan mengajak rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh negara tanpa mengira latar belakang kaum, agama, jantina dan peringkat umur untuk sama-sama memberi sokongan terhadap acara dengan tujuan cukup murni ini.
Selain itu, sektor awam dan swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan individu termasuk parti politik daripada parti pemerintah mahupun pembangkang diminta datang beramai-ramai bagi menyatakan ikrar Hapuskan Rasuah, Jangan Beri, Jangan Terima dalam larian itu.
Bagi Erry Putra, menyertai acara sebegini sesuatu yang jarang dilepaskannya memandangkan ia untuk memberi kesedaran kepada orang ramai ke arah lebih positif.
“Datang, sertai dan rasakan sendiri detik-detik penting ini. Sebagai rakyat di sebuah negara merdeka, kita sokong pelbagai usaha untuk menjadikan negara kita ke arah lebih baik pada masa depan, termasuk dalam soal membanteras jenayah kolar putih seperti rasuah ini,” katanya yang akan menghiburkan pengunjung yang hadir ke acara itu.
Azza berkata, dia tidak menolak peluang untuk bersama-sama pemimpin negara menyatakan sokongan kepada usaha yang dilakukan penganjur.
“Kita tunjukkan kepada semua bahawa di Malaysia kita menolak rasuah. Kita tidak mahu terus membiarkan ia berleluasa kerana rasuah perlu dibanteras,” katanya.