Atilia bakal menetap di Koh Samui


Atilia

PENYANYI Atilia Haron, 39, membuat keputusan untuk menetap di Koh Samui, Thailand, demi mengikuti kursus yoga selama sebulan.

Anak kepada penyanyi veteran, Salamiah Hassan itu berkata demikian selepas membuka pusat yoganya iaitu ‘Yoga One That I Want’ pada pertengahan tahun lalu.

Disebabkan ingin membuka satu lagi pusat yoga di Shah Alam, kata Atilia, dia mahu pengetahuannya bertambah, di samping mantapkan lagi kemahiran terhadap senaman kesihatan itu.

“Walaupun hampir lapan tahun saya melibatkan diri dalam senaman ini, tapi saya rasa selagi saya belum dapat sijil kelayakan, saya tidak yakin untuk mengajar pelanggan yang datang di pusat yoga saya. Apa yang paling membimbangkan, jika berlaku insiden kecederaan, kerana saya masih kurang mahir dari segi itu. Sebab itulah saya perlu mantapkan lagi kemahiran dan pengetahuan saya terhadap senaman ini.




“Alhamdulillah keluarga saya benarkan saya berpindah ke sana. Walaupun berseorangan dan takut, tapi saya tekad untuk mengikuti kursus kemahiran yoga di sebuah sekolah di sana selama sebulan. Insya-ALLAH pada bulan Julai ini saya akan berpindah ke sana dan akan pulang pada hari raya ke-12 nanti,” kata Atilia ketika ditemui pada majlis koleksi terbaharu jenama Fesyen Dressing Paula sempena Musim Bunga dan Panas 2014, bertempat di Bridge Bar, G Tower, baru-baru ini.

Penyanyi bersuara merdu ini sudah membuka pusat yoga yang terletak di Damansara Perdana dan bakal membuka cawangan kedua di Shah Alam, Mei depan.

Dalam pada itu, Atilia juga berharap dapat ubah persepsi sebilangan masyarakat yang mempunyai tanggapan negatif terhadap yoga.

“Walaupun ramai yang memberikan persepsi negatif kepada senaman ini sebab ada bacaan mentera tapi di pusat yoga saya, kami tidak melakukan pendekatan itu. Kerana bagi saya senaman ini sangat bermanfaat dan bagus untuk kesihatan badan,” katanya.

Selain itu menurutnya, dia gembira dengan sambutan menggalakkan daripada para pelanggan yang mengikuti kelas di pusat yoganya.

Ditanya mengenai perkembangan seni muziknya, Atilia berkata, dia bakal melancarkan album terbaharunya tidak lama lagi yang kini masih dalam proses rakaman.
Previous Post Next Post