Bapa Komen Isu Shila Amzah Berseluar Ketat Di China


Shila Amzah

Bapa kepada penyanyi Shila Amzah iaitu ND Lala mengambil tanggungjawab sepenuhnya ke atas insiden anaknya itu dikatakan berpakaian tidak sesuai sebagai seorang wanita Muslim dalam sebuah program televisyen di Beijing, China baru-baru ini.

ND Lala berkata, sebagai manusia, anaknya itu tidak terlepas dalam melakukan kesilapan selain berpendapat kejadian itu berlaku secara tidak sengaja.

"Rakaman program itu dibuat pada pukul 1.30 pagi apabila pihak penerbit ingin menambah sebuah lagi lagu untuk dinyanyikan Shila itu dan anak saya bersetuju untuk berbuat demikian.

"Bagaimanapun timbul masalah pakaian kerana baju yang dibawa telah digunakan pada persembahan lain dan jika mahu kembali ke hotel bagi mengambil pakaian, ia memakan masa selama satu jam.




"Jadi kami memilih pakaian disediakan produksi dan seluar yang dipakai Shila bukan 'legging' seperti didakwa cuma warnanya sahaja tidak sesuai untuk wanita berhijab sepertinya," katanya.

ND Lala ditemui pada sidang media Konsert Cinta oleh Shila Amzah di Menara Kuala Lumpur di sini, Jumaat.


Shila Amzah

Konsert itu bakal berlangsung di Shanghai,China pada 16 Ogos depan manakala peminat di Malaysia akan dihiburkan pada 13 September 2014.

Persembahan di Kuala Lumpur akan diadakan di Mega Star Arena di sini pada pukul 8 malam.

ND Lala mengulas mengenai komen negatif yang diterima Shila apabila tampil dengan gaun pendek dengan seluar ketat dari rona kulit yang kelihatan seolah-olah penyanyi itu mendedahkan auratnya biarpun bertudung.

Dalam pada itu, Shila yang turut hadir ke sidang media itu berkata, dia semakin selesa menetap di Beijing dan ia telah mematangkan pemikirannya selain mampu berdikari dengan baik.

Kata Shila, penguasaan bahasa Mandarin yang dipelajari juga semakin baik dan dia kini lebih yakin untuk bertutur dengan orang lain menggunakan bahasa itu.

"Semua yang berlaku cukup pantas tetapi saya bersyukur kerana dapat belajar pelbagai perkara daripada pengalaman tinggal di luar negara.

"Biarpun bukan mudah untuk mengadaptasi budaya luar serta bahasa mereka tetapi saya kini lebih kuat dan dapat mengharunginya dengan baik," katanya.

Pada sidang media berkenaan yang turut dihadiri oleh wakil media dari akhbar Cina, Shila menjawab soalan mereka dengan fasih dalam bahasa Mandarin.

Sementara itu, bercakap mengenai konsert sulungnya itu, Shila berkata, dia tidak berniat untuk membelakangkan peminatnya di Malaysia apabila mengadakan persembahan di Shanghai terlebih dahulu.

"Ini adalah impian saya yang akhirnya bakal terlaksana. Biarpun akan mengadakan konsert di Shanghai terlebih dahulu namun saya berjanji akan memberikan persembahan paling istimewa buat peminat di Malaysia nanti," katanya.

Tambah Shila, dia juga berbangga apabila kedua-dua konsertnya itu nanti akan menggunakan tenaga sepenuhnya produksi Malaysia di mana Jennifer Thomson dan Helen Yap akan bertindak sebagai penerbit konsert.

Malah katanya, dia juga akan menyampaikan lebih 20 buah termasuk lagu-lagu berbahasa Malaysia, Mandarin dan Inggeris.

Katanya lagi, dia juga akan menampilkan penyanyi bertaraf antarabangsa dalam konsert itu sebagai tetamu undangan.

"Siapa artis jemputan saya tidak boleh beritahu sekarang dan peminat kena tunggu pada hari persembahan," jelasnya.

Konsert Cinta Shila Amzah diterbitkan oleh Mega Ultimate Sdn Bhd dengan kerjasama Shila Amzah Entertainment Sdn Bhd.

Tiket dijual pada harga RM268, RM138 dan RM88.

Shila akan mengumumkan tarikh penjualan tiket dalam sidang media khas yang akan diadakan pada Mei depan.
Previous Post Next Post