Filem The Journey di Singapura dan Taiwan


THE JOURNEY yang mengangkat tema perbezaan budaya dan penerimaan terhadap sesuatu yang baharu menarik perhatian khalayak dunia.

SELEPAS berjaya meraih kutipan sebanyak RM17.16 juta sepanjang enam minggu ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, kini filem The Journey telah menembusi pasa- ran Singapura (20 Mac lalu) dan Taiwan pada bulan April ini.

Pengarahnya, Chiu Keng Guan berkata, dia sendiri tidak menyangka filem itu mendapat kutipan tertinggi di Malaysia dan akan ditonton oleh penonton luar negara.




“Apa yang berlaku sekarang memang di luar jangkaan saya. Saya tidak sangka filem ini akan mendapat kutipan tertinggi dan pihak luar berminat untuk tayangkan filem The Journey di negara mereka.

“Rasanya bukan saya sahaja terkejut dengan penerimaan luar biasa ini tetapi juga barisan pelakonnya yang bukan pelakon komersial,” ujarnya yang ditemui pada majlis tayangan dokumentari khas filem berkenaan berjudul End Credits di TGV One Utama baru-baru ini.

Kejayaan filem The Journey telah memberi tekanan untuknya membikin filem yang lebih baik pada masa hadapan.

“Tekanan untuk saya bukan untuk meraih kutipan tertinggi, sebaliknya menghidangkan sesuatu yang berbeza untuk filem akan datang.

“Sekarang, banyak mata yang memerhatikan apa lagi yang saya mampu buat untuk menghasilkan karya yang lebih baik daripada The Journey, bukannya berapa jumlah tiket yang mampu saya jual,” balasnya.

Kata Keng Guan, jika diberi peluang, dia teringin untuk mencuba genre filem aksi pula selepas ini.

“Saya sudah mempunyai beberapa perancangan untuk filem yang akan datang tetapi jika boleh saya mahu mengarahkan sebuah filem aksi yang tidak pernah dicuba lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, dokumentari khas filem tersebut yang berjudul End Credits cukup meruntun hati ketika sesi tayangan kepada pihak media.

Dokumentari yang diarahkan oleh Bak Chee Hong itu memaparkan kesukaran dan cabaran yang terpaksa dihadapi pihak produksi sebelum penggambaran bermula dan ketika ia penggambaran berlangsung.

Paling menarik, belon panas yang dipaparkan dalam filem The Journey itu benar-benar dibuat oleh pihak produksi dengan bantuan 200 orang awam.

“Sebanyak lapan kali percubaan untuk kami menaikkan belon panas ini. Setiap kali gagal diterbangkan, kami akan memperbaikinya semula.

“Sebab itu, apabila belon itu berjaya diterbangkan, semua pihak termasuk pelakon dan kru produksi menangis kerana terlampau gembira,” jelasnya.

Pada majlis itu, selain pengarah, pelakon filem berkenaan iaitu Frankie Lee, Khong Tuck Khoon, William Khok dan Chong Nyuk Ling turut hadir menceritakan pengalaman menarik mereka.

Peminat yang tidak sempat menyaksikan filem The Journey di pawagam boleh saksikan filem itu beserta dokumentarinya di Astro First bermula 20 Mac lalu dengan harga RM15 bagi setiap pembelian.
Previous Post Next Post