Pemandangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang dijangka akan mula beroperasi secara rasmi pada awal Mei nanti.
KLIA2, terminal khusus bagi penerbangan kos rendah terbesar di dunia, telah mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) daripada UEMC-Bina Puri JV, kontrak utama bangunan terminal itu.
Pengeluaran CCC bukan sahaja memperakui keselamatan projek itu malah juga kelulusan bagi semua pihak berkuasa berkaitan untuk menghuni bangunan terminal itu termasuk syarikat penerbangan yang boleh memulakan operasi dari lapangan terbang hibrid itu.
"Kami mendapat CCC itu semalam, 17 April," kata Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) (Perkhidmatan Operasi), Datuk Azmi Murad.
CCC mestilah mematuhi spesifikasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Perbandaran Sepang dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).
MAHB mengendalikan latihan Kesediaan Operasi dan Pemindahan Lapangan Terbang (ORAT), yang merupakan percubaan untuk merangsang aspek kefungsian dan operasi sejak awal Februari.
ORAT akan dilaksanakan pada 30 April.
Operasi penerbangan di klia2 akan bermula pada 2 Mei, manakala terminal penerbangan kos rendah (LCCT) sekarang dijadualkan ditutup pada 9 Mei.
Malindo Air, Cebu Pacific Air, Tiger Airways Singapore, Lion Air dan Mandala Airlines Indonesia mengumumkan bahawa syarikat-syarikat itu akan memulakan operasi di klia2 menjelang 2 Mei.
Pada 15 April, AirAsia mengesahkan ia akan turut memulakan operasi dari klia2 menjelang tarikh yang sama.