Pernah diberikan kepercayaan untuk mengacarakan Anugerah Skrin 2013 di samping Faizal Ismail dan Ally Iskandar, Nad Zainal berpendapat yang dia tidak sesuai mengacara dan hanya ingin fokus kepada bidang lakonan yang merupakan minat sepenuhnya.
“Apabila melihat semula gelagat saya mengacara membuatkan saya mengambil keputusan untuk tidak lagi menggalas tanggungjawab sebagai pengacara. Saya merasakan diri saya tidak sesuai sebagai pengacara, malah saya tidak suka melihat gaya pengacaraan saya.
Selepas menjadi hos utk ASK 2013 dan 'Meletop' saya turut ditawarkan untuk mengacarakan sebuah program, tetapi saya menolak kerana saya rasa kekuatan saya bukan dalam bidang pengacaraan,” ujar Nad ketika ditemui di TM Convention Centre, di sini, baru-baru ini.
Mengulas mengenai gambar yang dimuat naik di laman sosial Instagram Nad yang mana dia dan kekasihnya, Azwan Kombos telah menghadiri kursus pra perkahwinan baru-baru ini hanya sekadar suka-suka serta belum mempunyai sebarang perancangan untuk berumahtangga.
“Kebetulan kami berdua tidak sibuk pada hari tersebut, jadi kami membuat keputusan untuk menghadiri kursus kahwin kerana ramai yang cakap nanti ia akan menjadi lebih susah. Lebih baik pergi sekarang sementara masih senang lagi,” ujar Nad.
Selain itu, Nad turut berkongsi yang dia baru sahaja selesai penggambaran sebuah telefilem berjudul 'Tatu'. Telefilem yang mengandingkan Nad dan Izzue Islam itu dihasilkan dari pengalaman hidup seorang krew produksi yang mempunyai tatu.
“Saya membawakan watak seorang ustazah dalam telefilem 'Tatu' itu yang diinspirasikan daripada kisah hidup seorang krew produksi Melayu yang mempunyai tatu. Dia kemudiannya menyesal dan berusaha untuk membuang tatu tersebut, namun gagal.
Akhirnya dia meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan jalanraya dan bahagian bertatu di tangannya tercedera. Mungkin itu pertolongan Allah untuk membantunya menghilangkan tatu,” katanya.
ARTISMELETOP: Dah tak sabar tengok Naz Zainal Kawin