Nina Iskandar Komen Isu Perampas



Pelakon filem ‘Lu, Gua, Bro!’, Nina Iskandar pernah dikaitkan dengan anak tiri Datuk Siti Nurhaliza, Adib Khalid. Namun begitu, Nina menangkis gosip tersebut dan ARTISMELETOP pernah melaporkan yang Nina sudah pun dirisik pada Januari lalu oleh seorang jejaka yang bekerja sebagai ahli perniagaan bernama Ahmad Heiqal. Terkini, Nina bakal mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hatinya itu pada Ogos hadapan.

Sebelum menjalinkan hubungan cinta bersama Nina, bakal tunang Nina pernah didakwa mempunyai kaitan dengan dua orang selebriti iaitu Yana Samsudin dan Hanis Zalikha. Apabila Nina sedang menjalinkan hubungan cinta dengan bakal tunangnya, ada pihak cuba mengungkit semula cerita lama mengenai kisah terdahulu bakal tunangnya.

“Saya tahu mengenai cerita dan latar belakang dia sebelum ini. Kami berdua bersikap terbuka dan berkongsi semuanya. Saya memang tahu dari awal lagi. Gosip mengenai saya pun dia tahu. Apa yang penting, saya tidak berminat dengan masa silamnya kerana bagi saya, masing-masing ada masa silam. Takkan nak ungkit balik mengenai perkara lama. Jika tiada masa silam, tiadalah sekarang,” ujar Nina lagi ketika ditemui di di Majlsi Pelancaran Model Mini Cooper Baru di Ingress Auto, Bangsar pada Jumaat.




Dalam pada itu, ada juga cakap-cakap di laman sosial mendakwa Nina menjadi perampas. ARTISMELETOP cuba mendapatkan pandangan Nina mengenai perkara ini.

“Mulut-mulut jahat tetap akan jadi mulut-mulut jahat. Mulut tetap akan bercakap. Selagi mereka berkata apa pun, saya tidak kisah. Kami tahu apa yang benar, jadi kami teruskan dengan kebenaran. Saya tidak mengambil endah perkara itu. Saya sendiri tahu, dalam industri pasti ada orang cakap perkara yang menyakitkan hati. Saya tidak takut dengan sejarah lamanya. Segalanya saya ambil untuk menjadikan saya sebagai seorang individu yang kuat. Kemungkinan satu hari nanti ada perkara yang lebih teruk, jadi perkara ini saya ambil sebagai rangsangan positif untuk saya teruskan kehidupan,” ujar Nina lagi.

Nina juga mendedahkan dia dan bakal tunangnya mengamalkan sikap berterus terang antara satu sama lain. Nina tahu mengenai sejarah hidup bakal tunangnya, begitu juga sebaliknya.

“Sifat berterus terang adalah penting. Saya percayakan dia dan dia pun percayakan saya. Kami kongsi semuanya kerana kami selesa bersikap begitu. Saya mengenali dia dan keluarganya, begitu juga dia mengenali keluarga saya. Jadi biarlah sekarang kami jalinkan hubungan ini mengikut aturan biasa, macam ‘go with the flow’ sahaja,” tutur pelakon ‘Muka Surat Cinta’ ini.

Dalam perkembangan terbaru, Nina kini sedang giat menjalani penggambaran bagi telemovie istimewa sempena Aidilfitri, ‘Raya Ini Mesti Kahwin’ bergandingan dengan Shah Iskandar.
Previous Post Next Post