Adi Putra Bernikah Selepas Enam Bulan Kenal



ADA yang pepatah yang mengatakan, jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Begitulah juga dalam episod rumah tangga. Siapa yang tidak mahukan sebuah institusi kekeluargaan yang baik. Semua mahukan erti bahagia yang sebenar-benarnya dalam membina keluarga. Tetapi, sebagaimana setiap barang ada harganya, setiap yang kita mahukan juga ada risikonya.

Menyelami kisah rumah tangga pasangan pelakon, Adi Putra dan isterinya, Aida Yusof, begitu banyak dugaan yang melingkari masjid yang dibina mereka.

Cerita demi cerita yang keluar menyebabkan ada yang beranggapan keretakan sudah mula timbul sehingga pasangan ini dikatakan hampir mahu bercerai tahun lalu. Peliknya, sehingga kini tiada yang retak, sebaliknya cinta pasangan ini dilihat semakin utuh.






Bagi Aida sendiri, apa yang penting dalam rumah tangga adalah sebuah perkahwinan yang memerlukan kedua-dua saling bertolak ansur.

“Sifat memahami antara suami dan isteri, itu yang utama. Dugaan yang datang itu tidak sepatutnya kita cepat melatah," jelasnya.

Selain memahami, komunikasi antara dua pihak juga adalah sesuatu yang sangat penting dalam melayari rumah tangga.

“Jika dalam hubungan, agak sukar untuk berkomunikasi, memang sukar bagi kedua-dua pihak untuk selesaikan masalah. Jangan malu, jangan pentingkan diri sendiri jika kita mahu bahagia," pesan Aida.

Mengimbas kembali detik-detik mula bersama dengan suaminya, jelas Aida, perkenalan mereka singkat sebelum persetujuan untuk bergelar suami isteri dibuat.

“Saya berkenalan dengan Adi Putra kira-kira enam bulan sahaja sebelum kami berdua mengambil keputusan untuk bernikah. Kami nekad betul untuk berkahwin ketika itu," ujarnya dalam ketawa.

Ada yang berkata hubungan selama enam bulan itu terlalu singkat untuk berkahwin tetapi Aida berpendapat sebaliknya.

“Saya rasa itu tidak singkat. Saya merasakan itu sebagai jodoh dan ketentuan tuhan.

“Malah, dalam masa enam bulan itu, kami banyak mengenali hati masing-masing. Tidak ada masalah kalau hendak bernikah dalam perkenalan yang singkat," ujarnya.

Tambahnya, rumah tangga yang kini dibina selama lapan tahun semakin utuh dengan kasih sayang walaupun dugaan datang menimpa.

“Kalau hendak kata dugaan rasanya semua orang tahu apa yang berlaku kepada kami sebelum ini. Tapi, sebagai isteri, saya tidak boleh lari atau mengelak daripada masalah.

“Apa yang penting ialah bagaimana kita hendak menyelesaikan masalah itu bersama-sama. Kita sendiri sudah bersedia untuk akad nikah jadi kena sedia untuk menerima dugaan," katanya.

Adi romantis

Bergelar isteri kepada seorang selebriti bukan mudah apatah lagi si suami itu seorang yang terkenal dan mempunyai kelompok peminat yang sangat ramai.

Bagi Aida, dia lebih senang antara peribadi dan kerjaya itu dibeza-bezakan supaya keputusan yang diambil lebih rasional, tidak memudaratkan keluarga.

“Jangan sesekali mencampurkan urusan peribadi dengan kerjaya, sentiasa bersifat toleransi antara satu sama lain.

“Sebab itu, bila Adi dikaitkan dengan kontroversi, saya bukanlah seorang yang jenis melatah. Jika saya cepat ambil tindakan, itu lagi boleh membawa padah kepada diri.

“Biasanya, jika ada masalah yang membawa kepada krisis rumah tangga, saya akan ambil masa lima minit untuk muhasabah dan menilai. Jika kita campur kerjaya dan peribadi, itu yang bertambah serabut dan akhirnya rasa marah yang akan menguasai diri kita," ujarnya.

Lapan tahun bergelar isteri, dia melihat Adi sebagai seorang lelaki yang mempunyai sifat kepimpinan tinggi dalam rumah tangga.

“Dia tegas dalam rumah tangga, ada sifat kepimpinan yang sangat tinggi. Saya menganggap dia sebagai seorang khalifah dalam rumah tangga yang membawa dan membimbing kami ke jalan agama," jelasnya.

Selain tegas, Adi mempunyai sifat romantis dan selalu membuat kejutan yang menambah manis dalam hubungan.
Previous Post Next Post