Penyanyi legenda Datuk Sharifah Aini, 61, hari ini mengesahkan yang dia pernah dijangkiti virus Influenza A (H1N1) lima bulan lalu.
Menerusi Facebooknya hari ini, Sharifah Aini memberitahu yang dia menerima rawatan di hospital selama 28 hari dan sepanjang tempoh itu dia ditempatkan di bilik berasingan daripada pesakit lain.
"Sampai sekarang saya perlu berulang-alik ke hospital dan hospital ibarat rumah kedua saya kerana kesihatan saya belum pulih seratus peratus. Saya memberitahu pengalaman ini, agar orang ramai lebih berhati-hati. Semuanya berlaku kerana saya terlalu ingin menjaga hati orang.
"Waktu itu saya mengadakan majlis khatam al-Quran dan salah seorang jemputan saya membawa kenalannya (wanita) yang tidak saya kenali dan wanita itu sejak datang batuknya amat teruk. Wanita itu hadir tiga malam berturut-turut ke majlis yang saya anjurkan itu.
"Tiap kali datang, dia akan memeluk dan mencium pipi saya. Bila dia peluk saya, tangan saya berpeluh. Selepas itu saya dapat tahu yang dia baru pulang daripada bercuti dari luar negara. Gara-gara dia, saya dan ahli keluarga disahkan dijangkiti virus H1N1," katanya yang dipetik melalui laman Facebooknya hari ini.
Kata Sharifah Aini, tujuan dia mendedahkan pengalaman itu bukan untuk menghina sesiapa, cuma untuk mengingatkan orang lain agar berhati-hati apabila mempunyai rakan atau saudara mara yang batuk teruk.