Adlin Aman Ramlie Tidak Timbul Istilah Ayah Baru



Rentetan ucapan yang dibuat oleh pelakon Adlin Aman Ramlie dalam rancangan hiburan, Melodi pada Ahad, ramai pihak yang membuat spekulasi bahawa mentor program realiti Bintang Mencari Bintang musim kedua itu tidak begitu senang dengan perkahwinan baru ibunya, Ruminah Sidek atau lebih dikenali dengan panggilan Mak Mah.

Bagi mengetahui apa yang dimaksudkan Adlin menerusi ucapannya itu, ARTISMELETOP menghubungi pelakon filem ‘Puteri Gunung Ledang’ itu bagi mendapatkan penjelasannya mengenai perkara tersebut.

“Kadangkala memang orang salah faham dengan kenyataan yang dibuat oleh saya, namun ia tidak bermakna yang saya tidak gembira dengan perkahwinan mak saya. Sudah 3 kali bergelar balu, saya berharap agar jodoh mereka berpanjangan sehingga ke akhir hayat bersama.

Namun tidak timbul istilah ayah baru kerana Haji (Al Fatah Rahim Ismail) memegang tanggungjawab sebagai suami kepada mak saya dan bukan kepada anak-anaknya yang sudah besar serta berkeluarga,” ujar Adlin ketika dihubungi ARTISMELETOP sebentar tadi.






Menurut Adlin, sedari kecil lagi dia sudah biasa membesar tanpa kasih sayang seorang ayah jadi dia tidak mempunyai sebarang tuntutan kepada Al Fatah. Bagi Adlin, dia mengharapkan agar perkahwinan baru Mak Mah ini mampu mengisi kesunyian ibunya yang mana ruang tersebut sukar diisi oleh anak-anak.

“Saya mengharapkan agar Haji dapat menjaga ibu saya dengan baik. Istilah ayah baru itu tidak wujud kerana sejak kecil lagi saya dibesarkan oleh mak tanpa kasih sayang seorang ayah kerana ayah saya sudah meninggal ketika saya berusia 3 tahun lagi,” ujar Adlin.

Mak Mah (68 tahun) sah bergelar isteri kepada Al Fatah (70 tahun) dengan sekali lafaz di dalam satu majlis jam 9.20 pagi pada Sabtu lalu bertempat di rumah abang ipar Mak Mah di Klang. Pada majlis tersebut, Mak Mah menerima mas kahwin sebanyak RM300 tanpa wang hantaran.

Majlis persandingan berlangsung sejurus selepas majlis akad nikah yang dihadiri oleh lebih kurang 300 tetamu. Mak Mah pernah berkahwin sebelum ini dan mempunyai 6 orang anak, 20 orang cucu dan 6 orang cicit.
Previous Post Next Post