Akhmal Rizal, enggan dibayangi Jibam!


Akhmal Rizal

SETELAH tiga musim bersama sitkom popular Oh My English! (OME) dan sinonim dengan watak Jibam, Akhmal Rizal nekad untuk meninggalkan siri berkenaan selepas ini.

Malah, anak muda berusia 22 tahun itu juga enggan lagi dibayangi dengan watak Jibam selain ingin mencuba watak lain.

"Nama Jibam seolah-olah sudah melekat dengan saya. Bukan saya tidak suka orang panggil saya Jibam. Saya hargainya. Tapi, saya tidak mahu terus dicop sebagai Jibam," katanya.

Jelasnya, panggilan nama tersebut seakan-akan mengehadkan kebolehan sebenarnya sebagai pelakon.






"Saya juga mahu keluar daripada zon selesa sekali gus membuktikan saya juga boleh membawakan watak lain," katanya.

Katanya lagi, biarpun sedih dan berat hati, namun dia terpaksa bagi memastikan kariernya dalam bidang lakonan berkembang.

"Sebenarnya, bukan mudah untuk membuat keputusan itu, kerana karier lakonan saya bermula dari OME.

"Tetapi, saya mahukan karier yang panjang dalam bidang ini, jadi saya perlu nekad," katanya.

Kini, Akhmal bakal muncul dalam musim terbaharu OME, yang ditayangkan secara serentak di Astro TVIQ (saluran 610) dan Astro Maya HD (saluran 135) pada setiap hari Ahad, jam 9 malam.

Selain Akhmal, OME turut dibarisi pelakon seperti Zain Saidin, Fauziah Ahmad Daud, Nadiya Nissa, Amyra Rosly, Sherry Alhadad dan Rahim Sepahtu.


Minat bidang pengacaraan

Dalam perkembangan lain, Akhmal memberitahu, selain berlakon, dia juga meminati bidang pengacaraan.

Malah, dia cukup teruja apabila diberi peluang sebagai pengacara dalam sebuah program terbitan TV9 tidak lama lagi.

"Selain lakonan, saya minat untuk menjadi pengacara. Saya gembira apabila mendapat peluang untuk menjadi pengacara dalam sebuah program yang akan diumumkan kelak.

"Itu adalah saat paling gembira buat saya," katanya.
Previous Post Next Post