
MEMAKI hamun termasuk menendang abang iparnya, penyanyi rap terkenal Jay Z bertubi-tubi.
Itu yang berlaku apabila Solange Knowles, bertindak menyerang suami kakaknya, Beyonce Knowles itu di dalam sebuah lif di sebuah hotel semasa mereka bersama-sama menghadiri Parti Met Gala minggu lepas.
Penyanyi berusia 27 tahun itu dikatakan berada dalam sedar semasa dia bertindak demikian selepas dia memberi amaran kepada sekumpulan pengunjung hotel berkenaan.
Menurut sumber, sambil menjerit-jerit tanpa rasa malu, Solange memarahi beberapa orang wanita yang berada berdekatan dengan Jay Z.
Serangan itu dikatakan berlaku selepas Jay Z dan Beyonce cuba memujuk adik mereka itu untuk beredar dari parti berkenaan.
Menurut sumber, sebelum diserang oleh Solange, dia telah beberapa kali memberi nasihat dan amaran kepada Solange.
Antara kata-kata Jay Z kepada Solange ketika itu adalah 'kamu sudah melampau'.
Bagaimanapun, kata-kata Jay Z itu tidak diendahkan oleh Solange sebaliknya dia bertindak makin liar meskipun Jay Z cuba untuk menenangkannya dan cuba membawanya keluar dari lif.
Ketika keluar dari lif, Solange tidak dapat menyembunyikan wajah marah dan bengangnya sebelum kemudiannya didapati menaiki kereta bersama Beyonce dengan Jay Z berlainan kenderaan.
Beyonce dikatakan terpaksa menaiki kenderaan bersama Solange kerana mahu menenangkan adiknya itu.
Apa yang mereka mungkin tidak sedar atau terlupa, situasi dan 'adegan' itu telah berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) di lif hotel berkenaan.
Sekali gus menjadikan rakaman itu antara video paling hangat sekitar minggu di internet setelah ramai yang mula memuat naik dan berkongsi rakaman berkenaan secara meluas dengan pengguna internet lain.
Banyak spekulasi timbul mengenai krisis yang berlaku antara Jay Z dan Solange.
Antara dikaitkan, Solange dikatakan telah menyalahgunakan nama Jay Z untuk menghadiri parti Met Ball berkenaan. Kemudian, setelah hal itu diketahui penyanyi rap berkenaan, Solange tiba-tiba mengaitkan Jay Z mahu ke parti berkenaan tanpa Beyonce.
Solange juga dikatakan sudah lama bengang dengan Jay Z kerana abang iparnya itu gagal menunaikan janji untuk membantunya dalam sebarang projek album baru.
Ini kerana dia sudah bosan hidup dibayangi Beyonce dan mahukan kejayaan dalam kerjaya muzik sama seperti kakaknya itu.
Terdahulu, Solange berkelahi dengan pegawai sumber Kim Kardashian, Rachel Roy.
