
SELEPAS hampir enam tahun bergelar duda, akhirnya penyanyi Glenn Fredly mengakui hatinya dicuri oleh vokalis kumpulan Vierratale, Widy Soediro Nichlany atau Widy.
Enggan menggembar-gemburkan hubungan cintanya itu kerana masih dalam peringkat awal, bekas suami Dewi Sandra ini juga menganggap Widy seorang wanita yang memahami.
Malah kata lelaki berusia 38 tahun ini, perbezaan usia selama 14 tahun dengan Widy menjadikan mereka lebih teruja untuk mengenali antara satu sama lain.
"Lebih baik berdiam diri (tentang Widy). Begitu juga dengan soal kahwin ini. Bila sudah ada kata akhir, pasti akan dikongsi," kata penyanyi yang popular dengan lagu Januari ini.
Mengakui masih terasa dengan kegagalan rumah tangganya dengan Dewi yang berakhir pada 2008 kata Glenn, itu faktor yang membuatkan dia lebih berhati-hati sebelum memulakan perhubungan.
Justeru kata Glenn, merahsiakan soal peribadi adalah cara paling selamat agar dirinya tidak terluka selain dapat fokus dalam karier seninya.
Widy turut melontarkan pandangan yang sama dengan Glenn. Anak kelahiran Menteng, Jakarta, Indonesia ini juga tidak mahu cerita soal hatinya menjadi perhatian orang ramai.
Sementelah usianya masih muda kata Widy, normal andai mengalami perasaan tersebut asalkan mengikut batas agama yang dibenarkan.
"Wanita yang terlalu lantang berbicara tentang cinta itu akan dipandang serong oleh masyarakat. Aku tidak mahu jadi begitu, jadi lebih baik tutup mulut saja.
"Melainkan kalau ada apa-apa dan Glenn juga memberikan respons (untuk berkahwin), barulah aku akan bersuara," katanya lagi.