
Jamal Abdillah mahu bersaing secara sihat dengan anaknya Osama Yamani.
KEPUTUSAN Jamal Abdillah untuk bersara dalam persada seni hiburan seperti mana yang diumumkan pada satu majlis baru-baru ini mengejut banyak pihak. Mereka tidak mempercayai kenyataan Jamal.
Sementelah dia pernah mengaku untuk tidak akan meninggalkan dunia nyanyian sebelum ini sekali gus menyebabkan Jamal dilontarkan kata-kata yang kurang enak berhubung keputusannya itu.
Sehinggakan ada mendakwa Jamal sengaja meraih publisiti murahan apabila dia sendiri dengan sengaja mengutarakan perkara tersebut ketika tiada sebarang isu membabitkan namanya.
Pun begitu Jamal menafikan sekeras-kerasnya bahawa dia sengaja mencetuskan suasana kurang enak biarpun dia mengakui bahawa 'skrip' tentang perkara tersebut sudah pun dirancang awal.
"Sebenarnya salah faham tentang perkara itu berlaku dalam kalangan penonton dan wartawan yang hadir ke majlis Minggu Setiausaha saya hujung bulan lalu.
"Sebab dalam persembahan itu saya cakap ingin menjemput seseorang yang mempunyai pertalian darah dengan saya yang juga mirip suara saya. Sudah tentulah Osama Yamani.
"Jadi pada waktu saya memperkenalkan anak saya itu, saya buat satu skrip 'tuan-tuan dan puan-puan, hari ini saya dah buat keputusan nak bersara sebab sudah temui pengganti saya' katanya yang tidak menyangka skrip yang dibuatnyasaya itu telah menimbulkan kemarahan.
Mengakui berasa ralat apabila dirinya dipersalahkan dek salah faham itu kata Jamal, dia juga menegaskan tidak akan berhenti menyanyi selagi hayat dikandung badan.
Lebih teruk lagi apabila dia turut dihentam oleh Kelab Peminat Datuk Jamal Abdillah (KPDJA) yang membantah keputusan yang dibuatnya selepas itu.
Pun keadaan tegang yang berlaku itu beransur reda apabila Jamal memberitahu bahawa tindakannya itu gimik semata-mata, kata Jamal.
"Mana boleh saya tinggalkan dunia nyanyian yang sudah jadi darah daging saya ini," katanya penuh makna.
Semua untuk anak
MENGULAS tentang perkembangan seni anak sulungnya itu kata Jamal, dia mahu menjadikan Osama memanfaatkan peluang yang diberikan sementalah menuntut di Sekolah Seni Malaysia di Kuala Lumpur.
Tidak mahu Osama melepaskan peluang tersebut kata Jamal lagi, dia juga mahu anaknya mudah berasa hebat dengan ilmu nyanyiannya kerana dia perlu lebih banyak berlatih.
"Saya pesan pada Osama, kalau nak jadi insan seni betul-betul, kena jadi seperti seniman allahyarham Tan Sri P. Ramlee atau Datuk Ramli MS. Mereka berdua itu adalah contoh terbaik.
"Sekarang ini saya perlu memberi banyak sokongan kepada Osama kerana saya tidak pernah mendapat sokongan daripada arwah bapa (Ali Hussain)," katanya sambil tidak gentar untuk bersaing dengan anaknya.
Mengakui kehidupannya pada hari ini lebih kepada kebahagiaan bersama anak-anak kata Jamal, dia juga mahu memastikan bahawa dia mampu menjadi bapa yang dapat membesarkan anak dengan penuh kejayaan.
Menyentuh tentang rancangan untuk bekerjasama dengan mana-mana artis untuk projek seni kata Jamal, dia mahu sesuatu yang lebih segar dengan kolaborasi bersama penyanyi baharu.
"Saya mahu tiak mahu ketinggalan zaman dengan cara lama saya. Selepas berjaya dengan Malique menerusi lagu Aku Maafkan Kami, saya merancang untuk bekerjasama dengan penyanyi muda seperti Yuna atau Najwa Latif," katanya lagi.