Cetusan ibu Dazrin, Amyra



KALAU melihat kepada jadual lakonan Dazrin Kamarudin dan Amyra Rosli yang cukup padat, pastinya bukan mudah untuk mengundang kedua-dua pelakon ini dalam sebuah acara yang membabitkan bersama peminat.

Bagaimanapun, di sebalik kesibukan masing-masing, ternyata kedua-dua pelakon itu masih sudi meluangkan sedikit masa untuk sama-sama memeriahkan acara Potret Bersama Selebriti sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2014 yang berlangsung di pusat membeli-belah Suria KLCC, Kuala Lumpur pada 10 Mei lalu.

Apa yang lebih menjadi tarikan pada acara tersebut apabila Dazrin dan Amyra turut ditemani ibu masing-masing sehingga mereka menjadi tumpuan pengunjung di pusat membeli-belah tersebut.

Menurut Dazrin, kehadiran ibunya ke acara anjuran Kosmo! itu sesuatu yang sangat mengejutkan memandangkan dia langsung tidak mengetahui ibunya bersama bapa dan adik-beradiknya sanggup turun dari Melaka.

"Pastinya ini merupakan satu kejutan yang tidak disangka dan apabila melihat kemunculan ibu, saya berasa sangat terharu. Secara kebetulan pula acara ini dilangsungkan pada hari ulang tahun kelahiran saya yang ke-26.

"Selain itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tunang saya, Amyra yang telah berhasil memujuk ibu saya untuk datang. Ia memang satu kejutan yang tidak disangka-sangka sama sekali," luahnya dengan nada gembira.

Ketika ditanya mengenai acara yang dianjurkan itu, Dazrin menyatakan penghargaannya apabila diundang untuk memeriahkannya, meskipun memiliki jadual yang agak padat sekarang.

"Hari Ibu pun hanya disambut sekali setahun dan menerusi acara ini saya turut berpeluang mendekatkan diri dengan peminat serta memperkenalkan ibu saya kepada orang ramai," jelasnya.






Tempoh setahun

Ketika berlangsungnya acara tersebut, Kosmo! sempat berbual dengan ibu Dazrin iaitu Dr. Yasmin Hussain berkenaan pembabitan anaknya dalam bidang seni.

Agak mengejutkan apabila Yasmin, 54, mendedahkan bahawa pada peringkat awal dia memang tidak membenarkan Dazrin untuk berkecimpung dalam dunia lakonan.


DAZRIN diberi tempoh setahun oleh ibunya agar dapat membuktikan dirinya mampu berjaya dalam karier seni.

"Kalau boleh, saya mahu Dazrin menyambung pelajarannya, tetapi dia masih berkeras untuk berlakon.

"Kemudian saya beri dia tempoh setahun sahaja untuk membuktikan yang dia mampu berjaya dan sekiranya gagal dia perlu ikut permintaan saya.

"Selepas tempoh setahun, dia ada menghubungi saya dan bertanyakan sama ada dia masih boleh meneruskan karier lakonannya atau tidak.

"Apabila saya melihat kesungguhannya itu, barulah saya membenarkannya terus berlakon," jelasnya yang langsung tidak menyangka anaknya itu begitu meminati bidang lakonan.

Dalam pada itu, Yasmin turut ditanya tentang perasaannya apabila terdapat beberapa cerita kurang enak mengenai Dazrin yang didedahkan di media.

Ujarnya, sebagai ibu, dia lebih mengenali diri Dazrin dan akan segera meminta penjelasan setiap kali timbul cerita yang membabitkan anaknya itu.

"Setiap kali kalau saya membaca surat khabar dan terbaca cerita mengenai gosip seseorang artis lelaki, saya akan terus menghubungi Dazrin untuk mendapatkan kepastian, meskipun gosip berkenaan tidak menyatakan nama.

"Selain itu, saya turut berpesan kepadanya supaya sentiasa menjaga nama baik keluarga setelah bergelar pelakon serta mendoakannya agar terus berjaya dalam bidang yang diceburinya," jelasnya.

Ibu urus kerjaya

Bagi Amyra pula, dia berasakan sangat beruntung kerana segala urusan dalam kerjaya seninya telah diuruskan sepenuhnya oleh ibu sendiri.

Ujarnya, memiliki ibu yang bertindak selaku pengurus ternyata memberi kelebihan buat dirinya memandangkan dia baru sahaja hendak menempa nama dalam bidang yang diceburinya itu.

"Saya beruntung kerana ibu seorang yang berpengalaman luas memandangkan dia sudah lama berkecimpung dalam industri seni.

"Walaupun sebelum ini ibu bekerja sebagai pegawai perhubungan awam di sebuah syarikat rakaman, tetapi ia bukan satu masalah yang besar untuk dia menguruskan kerjaya lakonan saya," jelasnya yang mula dikenali ramai selepas berlakon dalam drama bersiri Cinta Dan Wahyu.

Menurut Amyra lagi, memiliki ibu yang bertindak sebagai pengurus juga lebih memudahkan dirinya untuk memberi sepenuh tumpuan kepada lakonan memandangkan sebarang urusan lain akan diuruskan oleh ibunya.

"Pengalaman luas yang dimiliki oleh ibu sememangnya banyak membantu dalam perjalanan karier saya. Selain itu, seorang ibu pastinya sudah maklum mengenai karakter anaknya sendiri serta tahu apa yang saya mampu lakukan atau tidak.

"Namun begitu, tidak dinafikan ada juga sesekali timbul perselisihan pendapat dan ia dapat diselesaikan secara profesional dan sudah semestinya sebagai anak saya sangat menghormati ibu," ujarnya yang baru sahaja menjalani penggambaran telemovie berjudul Sakat.


DUTA produk Aurawhite ini tidak menafikan pernah berlaku perselisihan pendapat dengan ibunya selaku pengurus karier seni dirinya, namun ia dapat diselesaikan secara profesional.

Berhenti kerja

Demi melihat kerjaya lakonan anaknya berkembang, ibu Amyra, Noor Zaridah Ahmad pula memberitahu, dia sanggup berhenti kerja semata-mata kerana mahu menguruskan sepenuhnya kerjaya anak sulungnya itu.

Ujar Zaridah, ternyata pengorbanan yang dilakukannya itu cukup berbaloi setelah pelbagai tawaran lakonan yang diperoleh anaknya sejak mula bergelar seorang pelakon kira-kira tiga tahun lalu.

"Pada peringkat awal, saya terpaksa berhadapan dengan pelbagai kesukaran sehingga terpaksa menghantar profil peribadinya kepada ramai penerbit memandangkan dia masih lagi baharu.

"Bagaimanapun, setelah dia muncul dalam drama bersiri Jodoh, barulah ramai pihak yang membuka mata sehinggalah pelbagai tawaran lakonan yang diterimanya," luah Zaridah yang gembira dengan pencapaian anaknya itu.

Mengenai pembabitan awal Amyra dalam bidang lakonan, Zaridah menceritakan, dia sendiri tidak tahu mengenai minat anaknya itu sehinggalah Amyra memohon untuk mengikuti kelas lakonan selepas tamat sekolah.

Katanya, selepas mendapat keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia lantas bertanya kepada Amyra tentang perancangannya untuk masa hadapan dan kemudian anaknya memberitahu mahu menyambung pelajaran di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

"Saya langsung tidak membantah kemahuannya itu kerana saya memberi kebebasan kepada dirinya untuk memilih bidang yang digemarinya. Paling utama dia perlu berusaha keras dan memberi tumpuan sepenuhnya kalau hendak berjaya dalam bidang lakonan ini," ujarnya mengakhiri bicara.
Previous Post Next Post