BERJALAN melintasi gelanggang badminton yang biasanya menjadi ruang riadah kakitangan di Sri Pentas, Bandar Utama, Nik Michael Imran, 24, sempat menendang sebiji bola lusuh yang ditinggalkan tersadai di situ.
Dia berlari-lari mengejar bola tersebut dan beraksi ibarat sedang berada di padang futsal padahal ada urusan fotografi hendak disegerakan.
Tanpa topi koki, apron atau jaket putih yang biasanya menjadi uniform rasmi para chef di dapur, jika tidak mengenalinya sebagai Chef Nik Michael Imran, tukang masak selebriti itu juga tidak lebih daripada seorang personaliti televisyen biasa yang gemar ketawa.
"Saya ada banyak misi lagi, banyak lagi yang perlu saya pelajari. Memasak atau bidang kulinari akan sentiasa jadi kecintaan saya, tapi pada masa yang sama, saya juga nak buat benda lain. Macam buat pengacaraan program dan sudah tentunya, saya perlu menghabiskan pengajian saya di Universiti Multimedia," katanya yang kini mengusahakan restoran sendiri, PickNik di Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.
Pada rembang petang tempoh hari, cuaca panas terik. Hujan yang biasanya turun menjelang petang sedikit merisaukan apabila fotografi ini dilakukan di kawasan tidak berbumbung. Nik yang masih menuntut dalam bidang perniagaan itu bagaimanapun menunjukkan reaksi biasa-biasa sahaja, tidak terlalu hendak cepat atau merungut kepanasan.
Mungkin kepanasan sudah terlalu biasa buatnya. Bukan kerana saban hari di dapur menyediakan masakan untuk pelanggan, dia bahkan pernah bergelar pengacara program berjudul Remaja Ekstrem, yang sering masuk hutan dan meredah laut demi tuntutan sebagai pengacara.
"Sekarang saya cuba untuk mengurangkan program masakan yang melibatkan saya sebagai tukang masak solo. Program macam Dapur Panas sudah masuk musim ketiga. Saya mahu fokus dengan restoran dan habis belajar nanti, saya mahu ke Perancis untuk dalami pengajian dalam bidang masakan. Saya mahu ambil diploma kulinari pula," katanya yang pernah menyertai MasterChef Malaysia musim pertama.
Dikritik Chef Wan
Februari lalu, nama chef muda itu memanas gara-gara satu kritikan yang dihamburkan oleh Datuk Chef Wan mengenai kualiti program masakan di Malaysia. Soal kredibiliti, pengalaman cetek yang dihalalkan stesen televisyen yang sewenang-wenangnya memilih sesiapa sahaja sebagai chef disebut oleh Chef Wan. Wajah jambu juga menjadi isu bagi ikon dunia masakan tempatan itu dengan merujuk kepada Nik menerusi program Dapur Panas.
Mengulas lanjut soal kredibiliti, jejaka berdarah kacukan Melayu-Australia itu sekadar bersahaja. Wajah jambu hanyalah satu kelebihan buatnya namun usaha dan pembelajaran harus jadi asas jika mahu diterima ramai.
"Saya teringatkan kisah Nigella Lawson yang mencapai populariti dalam bidang kulinari biarpun dia bukannya mendapat pendidikan formal dalam bidang kulinari. Jadi, soal cukup kredibiliti atau tidak, itu subjektif asalkan penonton gemar lakukan.
Suka belacan
"Kalau ada orang mempertikaikan saya, maknanya orang itu belum mengenali saya.
"Saya masih dalam proses belajar walaupun sebelum ini saya ada belajar memasak dan belajar juga daripada ayah saya, tetapi itu tak bermakna saya cukup bagus. Saya buka restoran dengan bapa saya, itu juga tak bermakna saya dah habis belajar untuk jadi lebih baik. Di restoran saya, ada tukang masak yang lebih tinggi jawatannya daripada saya.
MASIH meneruskan pengajian dalam bidang perniagaan, pemilik restoran PickNik ini bercita-cita mahu mendalami bidang kulinari di Perancis.
"Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, jika tanpa kehadiran saya pun, program kulinari tempatan berjalan macam biasa juga. Sekarang, bidang kulinari sudah diterima, ia jadi sesuatu yang orang suka," katanya yang selesa jika diminati wanita kerana handal di dapur.
Tambahnya berseloroh: "Kalau itu yang gadis-gadis suka, saya akan tambah bermotivasi. Sekarang orang sudah tidak kisah bermenantukan tukang masak. Tapi, kalau sudah berkahwin, lebih enak rasanya kalau dapat makan hasil tangan isteri. Jika sudah seharian di restoran, takkanlah balik rumah pun saya yang kena memasak lagi. Sekarang, dalam peti sejuk rumah saya tiada apa-apa yang boleh dimasak.
"Jadi tukang masak juga, buat saya lebih menghargai kerja tukang masak di restoran. Bila memesan makanan di mana-mana restoran, saya lebih suka pesan menu yang ringkas-ringkas."
Mengakui menggemari segala jenis masakan Melayu termasuklah masak lemak sambal tempoyak, belacan atau ulam-ulaman seperti petai, pemuda berdarah kacukan itu bangga menjadi lelaki Melayu.
Namun dalam agenda kulinari, secara peribadinya chef yang pernah menjadi hos program Tea Twist di saluran Asian Food Channel (AFC) itu lebih terarah kepada masakan barat.
"Saya boleh katakan, masakan Itali dan Perancis sebagai kepakaran saya. Umumnya, masakan Itali dan Perancis ialah asas kepada masakan barat.
"Dalam bidang kulinari juga, saya mahu beri pendedahan kepada masyarakat Malaysia tentang asas penyediaan masakan barat. Saya tiada falsafah tertentu, tapi perkara paling penting dalam masakan Barat ialah teknik dan cara-cara penyediaannya bukan hanya kepada resipi yang nampak genius. Macam kalau masakan Melayu, kita kembali kepada asas contohnya macam mana hendak sediakan kerisik," lenturnya bersemangat.
Jejak bapa
Seronok bercerita tentang dunia kulinari yang menjadi sebahagian daripada hidupnya, anak pertama daripada enam beradik itu juga mengakui, cinta dan kekagumannya terhadap dunia masakan berpunca daripada bapanya, Datuk Nik Ezar Nik Bolia, juga seorang chef.
"Saya memang kagum sangat dengan dia, tapi sekarang saya sudah boleh tidak bersetuju dengan cara ayah. Macam dalam penyediaan menu baharu di restoran, pilihan dia tidak salah, tapi pendapat kami selalu bercanggah. Mungkin sebab saya bukan jenis chef yang ikut cara lama.
"Tapi, seronoknya, kami adik beradik memang pandai bab makan. Adik bongsu saya yang berusia lima tahun cukup handal bab memesan makanan di restoran," kongsinya sambil ketawa.
Semakin dikenali dengan gaya tersendiri, Nik bagaimanapun mengakui dia masih mencari rentak untuk mencorak sisi karakternya di kaca televisyen. Mungkin itu sebab mengapa Nik masih belum berani menerima tawaran lakonan yang sudah mula memujuk penglibatannya sejak kebelakangan ini.
"Di belakang kamera, saya masih seorang gila-gila, tapi dalam televisyen, saya lebih sopan. Masih takut-takut hendak jadi diri sendiri. Perkara itu berlaku secara natural sebab asalnya saya yang pemalu depan kamera," katanya yang kini bertindak sebagai juri untuk sebuah program masakan di 8TV yang berjudul Kang-Cheong Kitchen.
Kecoh, riuh-rendah dan mendebarkan, program yang ke udara setiap Rabu pukul 9.30 bermula 2 April lalu itu disifatkan Nik sebagai satu program yang harus dibanggakan.
Selepas Hello Bro…Tolong Masak dan Dapur Panas, Nik meraih satu lagi kepercayaan sebagai juri pula.
"Untuk program seperti Kang-Cheong Kitchen, kalaupun bukan sebagai juri, dipanggil sebagai peserta pun saya sanggup. Dalam program itu, kita boleh lihat karakter setiap peserta yang bertanding, sama ada dia ada bakat memasak atau tidak.
"Konsep program itu sangat menarik, lagipun ia bukan sebuah program yang mengambil konsep program dari luar, ia seronok dan terhasil dari pasukan produksi yang cukup kreatif," katanya yang semakin melakar nama sebagai chef selebriti muda dan berpengaruh ketika ini.