JIKA ditanya kepada ‘kaki novel’ siapakah penulis yang sering menjadi ikutan mereka, nama Anis Ayuni pasti tidak pernah ketinggalan menjadi sebutan.
Biarpun masa kini terdapat lambakan novel di pasaran, namun novel seperti Yang Terindah, Gemersik Kalbu dan Manisnya Cinta masih terpahat dalam hati pembaca tegarnya.
Apa yang istimewanya mengenai karya-karya yang dihasilkan, ia bukan sahaja mengetengahkan kisah cinta fantasi semata-mata, kerana dia juga sangat menitikberatkan logik dan realiti dalam penggarapan novelnya.
Bagi mengenali lebih lanjut mengenai pemilik nama sebenar Latifah Yusof, mari kita tinjau temu bual ini.
Difahamkan anda adalah seorang guru, boleh kongsikan bagaimana anda terlibat secara langsung dalam penulisan?
Memang saya bertugas sebagai seorang guru di SMK Seri Saujana, Bandar Baru Sri Petaling, Kuala Lumpur.
Saya bermula dengan menulis cerpen sebagai sebahagian daripada tugasan ketika mengikuti Diploma Pendidikan. Bagaimanapun, minat menulis itu tidak saya suburkan hinggalah Komponan Kesusasteraan diperkenalkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Apabila hampir saban hari mengulas novel, saya berasa terpanggil untuk membuktikan kepada anak-anak murid bahawa saya juga boleh ‘menulis’.
Namun usaha itu saya lakukan secara diam-diam hingga akhirnya terbit Suara Hati. Pada mulanya sukar mereka hendak percaya, tetapi itulah hakikatnya.
Dalam apa jua kerjaya, pasti ada cabarannya. Jadi apakah antara kesukaran yang terpaksa anda hadapi sepanjang bergelar novelis?
Bagi saya cabaran utama sepanjang bergelar penulis ialah kekangan masa untuk menyiapkan manuskrip hingga banyak kali ‘melanggar’ deadline yang diberi. Hal ini kerana saya harus akur kepada perkara lain yang perlu diberi keutamaan, iaitu keluarga dan kerjaya sebagai guru.
Apakah kenangan manis atau pahit anda sepanjang bergelar penulis?
Kenangan manis apabila novel Manisnya Cinta diadaptasi ke filem, Gemersik Kalbu diadaptasi ke drama bersiri dan Bayangan Rindu diadaptasi ke telefilem. Kenangan pahit apabila novel Cinta Yang Kurasa dicetak rompak. Tapi itu bukanlah halangan bagi saya untuk terus menghasilkan novel yang berkualiti.
Setiap novelis punya inspirasi untuk berkarya, anda pula bagaimana?
Sokongan keluarga dan peminat novel mendorong saya untuk terus berkarya. Lantaran itu, saya mencari masa untuk menulis agar saya sentiasa dapat mencapai target, iaitu setiap tahun ada sebuah novel terbaharu saya hasilkan.
Bagaimanakah sambutan yang diberikan oleh peminat terhadap koleksi novel anda?
Sambutan daripada kalangan peminat novel memang sangat menggalakkan. Ramai juga yang menjadikan novel-novel saya sebagai koleksi. Jutaan terima kasih saya ucapkan atas sokongan yang diberi sejak novel pertama saya, Suara Hati hinggalah yang terbaharu, Pandora Buat Insyirah.
Kisah cinta sering menjadi pilihan penulis menyebabkan pembaca disogokkan dengan jalan cerita yang klise, apa pendapat anda?
Bagi saya, klise bermaksud kata-kata atau frasa yang telah pudar, kurang segar dan kurang asli kerana terlalu sering digunakan atau selalu diulang-ulang dan juga bersifat stereotaip. Hal ini tidak dapat memberi sumbangan besar dalam sesuatu karya.
Namun, inilah yang sering berlaku dalam dunia penulisan kita. Antara persoalan yang paling disukai oleh penulis ialah kahwin paksa. Dari dahulu hinggalah sekarang, persoalan ini jugalah yang mewarnai novel-novel kita, cuma dengan cerita dan plot yang berbeza.
Bagaimana anda melihat perkembangan dunia penulisan kini?
Dunia penulisan tanah air semakin meriah dengan kelahiran ramai penulis baharu. Begitu juga dengan syarikat-syarikat penerbitan yang baharu. Perkembangan ini diharap semakin menyemarakkan dunia sastera tanah air. Namun, dalam realiti perkara itu seperti tidak berlaku.
Bukan sahaja cerita-cerita berbaur lucah dihidangkan untuk tatapan pembaca, judulnya pula meminggirkan bahasa kebangsaan. Fenomena ini membuatkan saya sering tertanya-tanya tentang apa yang sudah terjadi kepada dunia penulisan kita.
Sesungguhnya perkara ini patut dipandang serius kerana bukan sahaja merosakkan bahasa, tetapi juga merosakkan akhlak dan minda.
Nasihat buat penulis baharu yang ingin mencipta nama..
Setiap penulis harus mempunyai ‘identiti’ mereka yang tersendiri untuk mencipta nama dalam dunia penulisan. Dengan bilangan penulis yang semakin ramai, identiti yang tersendiri ini akan membuatkan pembaca mudah ingat kepada kita.
Penulis juga harus ingat tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat, iaitu dengan menghasilkan karya yang membina minda, karya yang ada nilai ilmu yang boleh dijadikan panduan serta karya yang menyeru kepada kebaikan dan menjauhkan kemungkaran.
Elakkan daripada menulis karya yang boleh mendorong kepada perbuatan maksiat dan zina dengan menggambarkan adegan-adegan lucah kerana bimbang kita menanggung dosa daripada perbuatan yang mereka lakukan. Kita bukan hendak menjadi penulis yang kaya di dunia, tetapi miskin di akhirat.
Perkembangan terkini anda?
Saya sedang memikirkan cerita untuk manuskrip terbaharu. Namun, setakat ini plotnya masih berlegar-legar di dalam kepala. Saya belum ada kesempatan untuk menurunkannya ke dalam komputer.
Profil
Nama : Latifah Yusof
Tarikh Lahir : 1 April 1963
Asal : Bentong, Pahang
Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Sains Sosial dari Universiti Malaya 1986 (Pengajian Asia Tenggara), Ijazah Sarjana dalam bidang Perancangan dan Pentadbiran Pendidikan dari Universiti Malaya (2004).
Karya : Suara Hati, Yang Terindah, Manisnya Cinta, Gemersik Kalbu, Kau Kekasihku, Bayangan Rindu, Seribu Kali Sayang, Sungguh Aku Cinta, Saat Kau Kata Cinta, Cinta yang Kurasa, Kejora di Langit Cinta, Pandora Buat Insyirah