PERCINTAAN dua darjat yang sarat dengan air mata menjadi tunjang utama plot penceritaan teater Di Bawah Lindungan Kaabah.
MALAM Jumaat lalu, buat pertama kalinya teater Di Bawah Lindungan Kaabah karya asal ulama dan novelis terkenal Indonesia, Prof. Dr. Hamka dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Pelakon Nasha Aziz dilihat larut dalam emosi dan watak Zainab yang dipegangnya. Emosi dan tangisan yang dizahirkan di atas pentas kerana cinta tidak kesampaian terhadap lelaki bernama Hamid (Adi Putra) benar-benar dirasai penonton.
Ditemui usai teater selama dua jam setengah itu berakhir, Nasha mengakui kini dia dan Zainab sudah sebati. Dia ialah Zainab dan cukup beremosi apabila disoal tentang perasaannya apabila teater itu dipentaskan buat pertama kali di hadapan khalayak.
“Saya tidak rasa seperti sedang membuat persembahan. Sukar untuk saya beritahu perasaan saya ketika ini. Andai apa yang saya sampaikan masuk dalam jiwa penonton, maknanya mereka mempunyai jiwa yang halus, mudah tersentuh.
“Sejujurnya, saya tidak rasa seperti sedang membuat persembahan kerana saya telah jatuh cinta dengan asal usul dan watak Zainab. Rasa seperti tidak mahu turun dari pentas dan berpisah daripada watak Zainab,” kata Nasha.
Kekasihnya dalam teater ini, Adi Putra yang memegang watak Hamid memberitahu, dia belum berpuas hati dengan lakonannya dalam teater arahan Rosminah Tahir itu.
“Tiada istilah puas hati sepanjang saya bekerja sebagai pelakon. Dalam teater ini terdapat banyak babak dan saya terpaksa menukar emosi dalam watak yang singkat, itu antara cabaran besar yang saya hadapi.
“Saya hanya muncul pada intro dan juga pada penghujung cerita. Watak ketika remaja dipegang pelakon lain, jika saya juga yang membawa watak remaja mungkin cara persembahan agak berbeza,” ujar Adi yang mengalunkan suaranya sendiri pada setiap lagu yang didendangkan dalam teater ini.
Pengarahnya, Rosminah Tahir mengakui banyak perkara yang harus diperbaiki untuk mencantikkan lagi teater itu. Antaranya durasi peralihan cerita antara babak ke babak yang lain harus dipendekkan.
“Secara keseluruhan teater ini berjalan dengan lancar, cuma saya harus percepatkan peralihan antara babak dan juga kerjasama antara grafik serta prop harus lebih kemas. Selain itu, saya lihat ramai pelakon kering emosi hari ini mungkin kerana hari pertama mereka belum dapat keserasian.
“Nasha sudah memberi yang terbaik. Sebab lakonannya sampai pada hati penonton. Dia seorang pelakon yang komited, terus berlatih pada hari pertama dia mendapat skrip.
“Harapan saya agar teater ini akan terus mendapat sambutan dan berjalan dengan lancar sehingga hari terakhir pada 18 Mei ini,” tutur Rosminah.
Sebagai penonton, secara keseluruhannya teater ini berjalan dengan lancar, namun pada bahagian pertamanya sedikit membosankan. Bagaimanapun, kemunculan Nasha dan Adi pada bahagian kedua telah memukau penonton.
Terutama Nasha yang emosinya boleh dirasai penonton. Selain itu, kemunculan Kaabah tiga dimensi di atas pentas membuatkan penonton kagum dan dapat merasai suasana sebenar di Mekah.
Tidak rugi untuk menonton sebuah teater yang diangkat daripada sebuah karya yang hebat. Percintaan dua darjat yang sarat dengan air mata mungkin kedengaran klise tetapi dalam teater Di Bawah Lindungan Kaabah anda akan merasai perbezaannya.
Buat penonton yang ingin menyaksikan teater ini yang dipentaskan bermula 9 Mei hingga 18 Mei di Istana Budaya, Kuala Lumpur, anda boleh membeli tiket dengan harga serendah RM30 hingga RM200. Ia boleh dibeli dengan melayari www.airasiaredtix.com atau hubungi talian 03-4026 5520/ 03-4026 5555/03-6186 6592.