PERCAYA masih ramai yang tidak mempercayai fitnah yang dilemparkan kepada dirinya.
TERKEJUT dan tidak percaya. Itulah reaksi apabila melihat gambar seksi yang dimuat naik Fouziah Gous dalam laman Instagram miliknya.
Gambar dia memakai baju dan skirt sehingga menampakkan paha serta sebahagian besar payu daranya, membuatkan ramai tertanya-tanya. Berani betul Fouziah berbuat demikian. Memang, kalau dilihat sekilas, semua akan menjangkakan itu sebenarnya diri Fouziah tetapi apabila dibelek-belek lagi, gambar itu merupakan hasil superimpose.
Siapalah punya angkara, tak pasal-pasal ramai yang beranggapan pelakon jelita tinggi lampai ini sengaja memuat naik gambar tersebut untuk meraih publisiti.
Sebenarnya Fouziah punya alasan tersendiri. Kalau mengikut kapsyen berbunyi; Woweee sexy babehh.. i must say thank to who eva done this.. effort tu penting ye," jelas menunjukkan Fouziah sebenarnya hanya mahu membuat sindiran terhadap pelaku.
Maafkan saja
Bagaimanapun, Fouziah memberitahu dia tidak mahu memperbesarkan isu terbabit dan mengaku sudah pun memaafkan siapa sahaja yang melakukannya.
Perkara itu sudah lama tetapi saya baru sahaja menjumpai gambar berkenaan di internet. Jadi, tidak elok kalau saya sengaja tarik perhatian ramai dengan sekeping gambar itu.
Apa yang saya boleh katakan, saya maafkan orang yang menggunakan muka saya dalam gambar tersebut. Saya tidak mahu ungkit apa-apa lagi.
Tidak guna untuk saya marah sekarang. Saya muat naik gambar tersebut supaya orang tahu ada lagi insan yang sengaja menggunakan gambar kita sewenang-wenangnya untuk kepentingan diri. Jadi kita perlu berhati-hati. Gambar itu juga bukan saya," katanya.
Percaya diri
Dalam pada itu, Fouziah berkata, dia perlu percaya pada diri jika tidak mahu namanya terus terpalit dengan kontroversi.
Saya percaya pada diri. Begitu juga dengan keluarga saya, mereka tahu siapa saya dan macam mana diri saya. Saya bukan seperti yang ditampilkan dalam gambar itu.
Saya isteri orang, tahu batas-batas tertentu. Sebab itu, saya tidak langsung tertekan dengan apa jua situasi yang melanda diri kerana saya ikhlas dan jadi diri sendiri," katanya.
Mengakui dirinya rapat dengan keluarga, Fouziah juga sentiasa bijak mengawal tingkah laku lebih-lebih lagi status isteri orang yang dipegangnya sejak perkahwinan dengan jejaka pilihan Md. Zhafran Md. Yusof pada 22 September lalu.
Saya percaya dengan menjalani kehidupan sosial yang sihat, kita akan lebih mudah terhindar dari kontroversi.
Tapi kalau ada kontroversi yang melibatkan diri, saya anggap itu teguran untuk memperbaiki diri saya ke arah yang lebih baik," ujarnya.
Ke Timur Tengah
Rezeki dalam perniagaan makanan kesihatan berasaskan sarang burung walet jenama FG Walet/My Walet Bird Nest milik Fozuiah semakin murah.
Malah produk itu turut dipasarkan Fouziah secara online dan mendapat permintaan tinggi bukan sahaja oleh warga tempatan, malah orang dari Brunei dan Singapura yang mengetahui khasiat sarang burung walet itu.
Sejajar dengan perkembangan itu, wanita berusia 32 tahun ini semakin mengimpikan untuk melebarkan perniagaannya. Katanya, dia mahu membawa produk itu ke Timur Tengah dengan identiti Malaysia. Memang tinggi cita-cita Fouziah.
Selama ini orang hanya tahu sarang burung asalnya dari China. Namun, sekarang saya juga mahu orang tahu negara kita sebenarnya juga pengeluar sarang burung tetapi bentuk pemasaran dan promosi itu membuatkan orang kita tidak mengenali sangat khasiat sarang burung.
Untuk pengetahuan, saya ambil sarang burung walet ini berbanding suplemen kesihatan yang lain kerana kesan yang diberikan kepada kita.
Saya memang percaya dengan produk sarang burung. Masa mula-mula saya ambil produk ni, saya tetap bertenaga walaupun selalu tak cukup tidur.
Bisnes sarang burung ni bukan untuk buat untung semata-mata. Ini adalah ciptaan semula jadi Allah, jadi bagus untuk kita amalkan demi jaga kesihatan," katanya.
Ujar Fouziah, sarang burung walet bagus untuk jantung, kecantikan kulit dan rambut serta kesihatan ibu mengandung.
Kalau kita tengok secara logik, kulit dan IQ orang Cina yang sudah amalkan sarang burung walet sejak dulu memang bagus. Jadi, saya ingin orang kita amalkannya juga sebab ia tak ada bahan kimia dan kesan sampingan. Cuma ada sedikit gula batu sebagai penambah rasa," jelasnya.