Azlee Khairi dilamun cinta


TIDAK berahsia soal cinta dengan ahli keluarga.

“Ya, saya sekarang sedang meniti saat bahagia bersama insan tercinta. Bagi saya angka (usia) bukan persoalannya kerana yang penting kami memahami antara satu sama lain," katanya.

Azlee Khairi, 25, yang bercakap kepada Hits baru-baru ini tidak menolak kebenaran cerita yang dia sekarang sudah ada teman wanita baharu bernama Leez yang berasal dari Brunei.

Jangan tak tahu, Leez bukan sekadar teman wanita, dia juga yang kerap kali menjawab segala panggilan telefon untuk Azlee. Bukan niat Leez mengongkong segala pergerakan teman lelakinya itu tetapi sekadar menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengurus artis.

“Sebenarnya Leez sudah menjadi pengurus saya sejak awal tahun lagi. Mungkin orang tidak tahu. Apabila dia menjadi pengurus, saya senang untuk bergerak kerana segala jadual dia yang tentukan.






“Sebelum ini saya pernah ada pembantu peribadi tetapi susahlah dan selepas Leez menjadi pengurus, kerjaya saya teratur. Saya lantik dia sebagai pengurus bukan kerana dia teman wanita saya tetapi kerana dia memang berkebolehan melakukan tugasnya dengan cemerlang," jelasnya.

Bila ditanya di mana dan sejak bila mereka mula menjalin percintaan, Azlee seperti biasa lebih senang kalau kisah cintanya itu tidak menjadi bahan utama. Namun, dia tidak menolak daripada memberitahu cerita sebenarnya.

“Sebenarnya saya tidak suka menguar-uarkan kisah cinta di laman sosial. Kalau ada yang tahu, mereka tahulah. Nama saya nak beritahu tidaklah. Tentang foto yang tersebar di internet itu pun saya tidak tahu daripada mana mereka dapat. Nama kata saya yang nak memuat naik di laman sosial, tidaklah.

“Kalau media tanya saya jawablah. Saya gembira dapat berkenalan dengan Leez kerana pada pertemuan itu dia mengenali saya sebagai lelaki bernama Azlee Khairi dan bukan sebagai pelakon. Perkenalan begitu lebih telus dan apa yang dapat saya nyatakan, perkara baik begini saya tidak suka tunggu lama-lama," jelas Azlee, kisah cintanya juga turut diketahui keluarga.

Malah pelakon itu juga tidak kisah bila ditanya tentang perbezaan usia mereka berdua kerana Azlee tidak memandang angka tersebut, baginya yang penting adalah kematangan Leez dan sedia menerimanya seadanya lebih memikat hati.

Azlee atau nama sebenarnya Azlee Khairi Zulah Hainee, berkata ketika ini dia sibuk menyiapkan projek program berkonsep gameshow yang membabitkan sebuah pasar raya ternama.

Dalam program tujuh episod yang bakal disiarkan sewaktu bulan Ramadan di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Azlee bertindak sebagai hos.

“Saya menjadi hos untuk satu permainan yang dilakukan oleh dua pasukan yang membabitkan artis dan peminat. Dua pasukan ini akan bertanding dan wang kemenangan mereka itu akan disalurkan kepada rumah kebajikan yang tersenarai kelak. Program ini dirakam di beberapa rangkaian pasar raya Giant.

“Ini bukanlah kali pertama saya menjadi hos kerana sebelum ini saya pernah mengendalikan program berbentuk kuiz, Ello! Ello! yang disiarkan di Astro Ceria dan beberapa program lain. Saya teruja menjadi hos untuk program ini kerana ia berkonsep kebajikan dan sekurang-kurangnya dapatlah saya menghulur bantuan mana yang patut," katanya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20140522/hi_02/Azlee-dilamun-cinta#ixzz32Vd2NwxF
© Utusan Melayu (M) Bhd
Previous Post Next Post