Saiful Nizam Ismail Romantis yang spontan



PASANGAN muda ini menjadikan kepercayaan sebagai teras utama dalam mencipta harmoni rumah tangga.

Sungguh mendalam maksud bagi tiap rangkap kata yang diluahkan oleh penyampai berita TV3, Saiful Nizam Ismail saat mahu memasuki pintu hati isterinya kini, Khairul Noormaidah Zali atau lebih dikenai sebagai Aida.

Bukan sesuatu yang dirancang, jelas Saiful Nizam, dia sendiri sehingga kini tidak tahu daripada mana datangnya keberanian untuk menuturkan ayat sedemikan apatah lagi dirinya bukanlah seorang yang romantis dalam bercinta.

Mengimbas kembali detik itu, jelasnya, dia sedang berada dalam kereta bersama dengan adik Aida ketika itu yang sering menjadi peneman tika mereka keluar berdua.






“Waktu itu, saya sedang membawa Aida dalam perjalanan untuk bertemu dengan salah seorang pereka fesyen untuk buat baju dia.

“Entah macam mana, tiba-tiba dalam kereta itu, saya tidak tahu daripada mana datang ayat itu, tiba-tiba empat ayat itu terus keluar dari mulut saya.

“Keberanian untuk cakap perkara itu pun saya tidak tahu datang dari mana sedangkan dalam kereta itu ada adik dia sekali, jadi dia dengar apa yang saya cakap pada Aida," jelasnya.

Tambahnya lagi, reaksi isterinya ketika itu menimbulkan tanda tanya kepada dirinya sendiri.

“Reaksinya, dia memang terkejut. Tetapi saya tidaklah menunggu jawapan yang segera. Sebaliknya saya suruh dia pulang dulu ke rumah dan fikir baik-baik," jelasnya yang masih tidak boleh melupakan detik luahan itu.

Mengenali Aida, jelas Saiful Nizam, tidak pernah mereka keluar berdua sahaja ketika sedang dalam alam cinta, sebaliknya mesti ada orang ketiga yang akan menemani.

Bagi Saiful, dia tidak kisah andai ada orang ketiga yang bersama dengan mereka kerana tindakan itu bukanlah kerana dia memegang status ikon Gadis Melayu.

“Memang betul, dia juara Gadis Melayu, tetapi semakin lama saya kenal dia, saya tahu yang dia lakukan demikian bukan kerana statusnya, tetapi itu adalah keperibadiannya.

"Itu yang kalau kami keluar bersama, pasti ada adik atau ibu yang ikut kami berdua. Saya sendiri pun tidak kisah jika tidak dapat keluar berdua, saya faham dan saya sendiri selesa begitu," katanya.

Keperibadiannya itu tidak hanya setakat mereka bercinta sahaja, tetapi terus menakluk diri Saiful Nizam untuk menyintainya sehingga bergelar isteri.

“Saya tidak tahu hendak ungkapkan macam mana, tapi saya pernah membawa dia pergi umrah bersama dengan ibu saya ketika itu.

“Di sana, dia yang jaga ibu saya. Dia yang tolak ibu saya ketika di Mekah dan itu yang buat saya rasa bertuah sedangkan saya tidak pernah pesan apa-apa pada dia.

“Ketika kakak saya dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selama tiga bulan, dialah yang setia menjaga kakak saya. Dia mandikan, dia uruskan makan minum semuanya dilakukan sendiri. Dia yang tawarkan diri untuk jaga kakak saya dan itu yang buat saya cukup tersentuh dengan keperibadian dia," jelasnya.

Mungkin ada yang berkata bahawa tindakan itu seperti sesuatu yang hipokrit dan bersifat sementara, tetapi bagi Saiful Nizam, mengenalinya sehingga kini, itu adalah diri isterinya.

“Bukan saya nak puji lebih-lebih isteri saya. Rumah tangga kami sama sahaja seperti pasangan yang lain. Sedangkan lidah lagi tergigit, kami juga kadang-kadang ada bergaduh.

“Tetapi tidak lama, dalam sejam dua kami sudah baik semula. Jika dia hipokrit, tidak mungkin dia akan terus dengan keperibadiannya itu sehingga kini," ujarnya.

Tambah Saiful, dia juga bersyukur kerana stesen penyiaran TV3 bukan sahaja sebagai tempat dia dilahirkan dalam bidang penyiaran, tetapi juga tempat dia bertemu jodoh.

“Setesen TV itu sendiri sebenarnya memberi banyak kenangan kepada saya apatah lagi saya bermula di sini. Bertemu jodoh di sini. Rasanya ia sudah menjadi sebahagian daripada diri saya," katanya.
Previous Post Next Post