Josephine Tan Tuah kajian lima bulan



KAJIAN dan penyelidikan kira-kira lima bulan membuah hasil kepada Josephine Tan apabila dia dimahkotakan sebagai Miss Earth Malaysia 2014, baru-baru ini.

Gadis berasal dari Kuantan, Pahang itu berkata, biarpun pada kebanyakan orang, peraduan ratu cantik sekadar mempertaruhkan kecantikan, tetapi padanya, ia lebih daripada itu.

Katanya, dia membuat persediaan yang cukup rapi kerana selain melakukan penyelidikan, dia juga turut bersedia dengan soalan dan jawapan.

Persedian mental dan fizikal juga penting kerana katanya, untuk menyertai peraduan itu dia perlu mempertaruhkan segala-galanya, bukan sekadar menonjolkan kecantikan yang ada.






Lagi pula katanya, saingannya terlalu sengit kerana ada peserta lain yang lebih cantik dan menawan.

“Bagi memastikan saya dapat bersaing dengan mereka yang dilahirkan dengan kecantikan semula jadi, saya perlu bekerja keras supaya mempunyai kelebihan tersendiri," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dengan kemenangan itu, Josephine telah mewakili Malaysia ke Miss Earth International tetapi tidak berjaya.

“Menang atau kalah di peraduan ratu cantik antarabangsa tidak menjadi masalah kepada saya, kerana tujuan saya menyertainya untuk belajar dan meneroka pengalaman baharu selain mendapat teman dari serata dunia.

“Pada Miss Earth International, saya banyak mempromosikan Malaysia yang mana ia telah menimbulkan minat ramai setelah saya bercakap dan bercerita kepada mereka tentang apa yang kita ada," katanya.

Pada Josephine, menjadi cantik sebenarnya satu pengiktirafan untuk dia membina keyakinan diri dan hasilnya ia membantunya berjaya dalam kerjaya sebagai model.

Selain itu katanya, dimahkotakan sebagai Miss Earth Malaysia juga memberikan kesempatan kepadanya untuk terlibat dalam isu-isu alam sekitar.

Josephine, 24, yang merupakan graduan St John University, New York berharap, selepas kejayaan itu lebih banyak pintu akan terbuka luas kepadanya dalam industri peragaan dan pertunjukkan fesyen

“Selain itu saya kini lebih sedar dan lebih bertanggungjawab terhadap isu alam sekitar dan merasakan perlu untuk menyumbangkan semula kepada masyarakat melalui kerja-kerja kebajikan dan menghadiri pelbagai acara berkaitan alam sekitar dan membantu mengatasi masalah berkaitan alam sekitar," katanya.

Josephine memulakan kerjaya sebagai model ketika berusia 18 tahun dengan menjadi model untuk program televisyen Deal or No Deal.

“Saya mendapat inspirasi daripada Victoria Beckham yang sentiasa bergaya dalam berfesyen bila-bila masa dan di mana sahaja. Saya terpesona dengan dengan kesungguhan dia dan bagaimana dia menyesuaikan diri dalam bidang berbeza iaitu sebagai ahli perniagaan, pereka fesyen, model, penyanyi dan ibu kepada empat anak," katanya.

Mengambil inspirasi daripada Victoria, Josephine juga bercita-cita untuk menjadi seorang ahli perniagaan tetapi pada masa yang sama menjadi ratu cantik dan model yang berjaya.

Setakat ini dia telah terlibat dalam banyak pertunjukkan fesyen termasuk baru-baru ini di Jakarta iaitu dalam salah satu Minggu Fesyen terbesar di kota raya itu.

Pada pertunjukkan itu dia menggayakan fesyen rekaan pereka terkenal Singapura Rayson Tan.

Baginya, dunia peragaan sangat menarik yang membuatkan dia tidak pernah jemu.

Berada di bawah kerlipan lampu kamera menjadikan dunia Josephine hidup dan menjadikannya ceria.

“Contohnya, ketika penggambaran kita tidak akan mendapat gaya yang sama, pakaian, latar belakang, solekan dan sebagainya. Setiap kali akan diadakan penggambaran, saya tertanya-tanya apakah gaya kali ini dan apakah hasilnya nanti. Ini membuatka saya teruja.

“Terdapat banyak elemen kejutan dalam dunia peragaan. Ketika usia kita semakin meningkat, ada banyak benda yang kita mahu cuba dalam hidup. Dalam usaha untuk membuktikan saya menjadi model yang hebat, saya mengambil bahagian dalam peraduan ratu cantik iaitu dengan menyertai peraduan Miss Earth Malaysia dan tidak sangka pula saya menang," katanya.

Menjadi cantik juga kata Josephine bermakna dia perlu menjaga kesihatan diri dengan mengekalkan cara hidup yang sihat terutama mengawal gaya pemakanan dan selalu bersenam.

“Saya suka makan makanan laut terutama udang. Dan saya akan meluangkan masa lapang saya di gimnasium untuk melakukan yoga atau senaman harian yang lain.

“Saya mengekalkan gaya hidup sihat dengan meminum banyak air setiap hari, segelas jus setiap hari dan makan secara sihat (lebih banyak makan sayur, sup dan buah-buahan)," katanya.
Previous Post Next Post