Impian Dewi, Ha Dan



Dunia seni kita sekian lama dibanjiri artis luar, baik dari Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina. Kini muncul pula artis dari Vietnam. Semua itu dilakukan untuk mencari kelainan dan menarik minat penonton.

Dua pelakon muda, Dewi Amanda dari Indonesia dan Nguyen Thi Ha Dan dari Vietnam dipilih membintangi filem Bahaya Wanita arahan Yusof Kelana.
Mereka digabungkan dengan pelakon Malaysia, Adam AF, Man Raja Lawak, Datuk Jalaluddin Hassan dan Faridah Mansor.

Nama Dewi Amanda memang asing di sini berbanding beberapa pelakon Indonesia yang pernah diundang membintangi filem atau drama. Apakah dua pelakon ini popular di negara mereka atau baru hendak mencuba nasib dalam lakonan?




Difahamkan, Ha Dan antara pelakon popular di negaranya dan turut dikenali dalam kalangan warga Vietnam di sini, berbeza dengan Dewi yang masih mencari tapak di negaranya.

Saat bertemu mereka dalam sesi fotografi khas bersama SELEBRITI METRO AHAD, banyak perkara menarik dikongsi bersama, terutama pengalaman bekerja dengan produksi Malaysia.

Dewi, 27, berkata, ini bukan kali pertama dia berlakon untuk produksi Malaysia kerana pernah diberi peluang menjayakan telefilem Kabut Ungu dan drama bersiri 13 episod Cinta Antara Kita untuk RTM. Bagaimanapun, dia tidak ingat bila dan siapa pengarahnya.

“Saya suka bekerja dengan produksi Malaysia sebab mereka sentiasa tepat pada masa. Mereka melakukan penggambaran mengikut jadual ditetapkan dan ia sistem sihat.

“Berbeza dengan cara kru produksi di Indonesia kerana pelakon kadangkala tidak mempunyai rehat yang mencukupi,” katanya selamba.

Pemegang Ijazah Kesusasteraan Jepun ini pernah menyuarakan pendapatnya mengenai situasi tidak sihat yang melanda industri hiburan Indonesia tetapi ibarat mencurah air di daun keladi, pendapatnya tidak diendahkan.

Kata Dewi, industri hiburan di negaranya menjadi bisnes yang lebih mengutamakan keuntungan berbanding menjaga kebajikan pekerja. Selagi tawaran dan permintaan masih ada, sebungkus nasi cukup sebagai upah bekerja dalam produksi.

Dewi juga menyimpan impian tinggi untuk pergi jauh dalam lakonan dengan mencari peluang bekerja dalam industri perfileman Holly­wood.

Katanya, dia begitu mengagumi bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Datuk Michelle Yeoh.

“Namun bagaimana saya boleh menjadi sepertinya? Sebab itu saya melihat tawaran berlakon daripada produksi Malaysia sebagai langkah pertama saya untuk dikenali di luar Indonesia.

“Saya mahu membina nama sebagai pelakon yang mampu melakukan babak aksi sendiri tanpa perlu bantuan pelagak aksi,” kata­nya yang turut meminati Angelina Jolie.

Dewi juga ingin berganding de­ngan pelakon Singapura yang mencipta nama di Malaysia, Aaron Aziz.

Bagi Ha Dan, 19, yang kurang fasih berbahasa Inggeris dan mengambil masa lama untuk menjawab soalan SELEBRITI sehingga terpaksa berinteraksi secara bahasa isyarat dan Inggeris, dia gembira dapat peluang bekerja dengan produksi Malaysia.

Mahasiswa jurusan Ekonomi itu berharap lakonan pertamanya dapat membuka peluang lebih luas untuk berlakon dengan produksi Malaysia.

“Namun saya perlu mantapkan dulu cara komunikasi saya dengan mengikuti kursus bahasa Inggeris supaya lebih mudah berkomunikasi dengan masyarakat luar.

“Saya banyak belajar perkara baru dengan produksi Malaysia, terutama melalui filem ini yang menjalani penggambaran selama dua minggu di negara saya,” katanya gembira.

Ha Dan turut berhasrat kembali ke Malaysia untuk bercuti kerana kepelbagaian budaya yang wujud di Malaysia menambat hatinya. Apatah lagi kedatangannya ke Malaysia untuk sesi promosi filem Bahayanya Cinta terlalu singkat.

Bahaya Cinta turut ditayangkan di pawagam negara berfahaman komunis itu pada bulan ini. Antara pelakon Vietnam lain ialah Luong Giang dan Nguyen Duc Hung.

Ia mengisahkan pengorbanan wanita Vietnam lakonan Fadilah Mansor yang mengimbas kembali detik cemas melarikan diri ke Malaysia akibat perang di negara­nya dan tinggal di kem pelarian di Pulau Bidong, Terengganu.

Selepas berkahwin dengan nelayan tempatan, dia dikurniakan anak lelaki, Iskandar (Adam AF). Satu hari, Iskandar dapat peluang ke Hanoi dan peluang itu digunakan ibunya untuk meminta Iskandar menyampaikan loket kepada bekas teman lelakinya di sana.

Tanpa alamat dan petunjuk, Iskandar meneroka bandar Hanoi hinggalah terjebak dalam sindiket dadah dan kongsi gelap selepas menyelamatkan seorang gadis dari Indonesia yang kebetulan berada di tempat sama.


Adam kecewa

Nama Adam AF mungkin lebih dikenali sebagai penyanyi sebelum dia mencuba nasib dalam lakonan.

Bagaimanapun, kemunculan filem terbarunya, Bahaya Cinta mungkin kurang mendapat perhatian apabila kisah peribadinya lebih mendapat liputan sepanjang minggu lalu.

Isnin lalu, Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, 31, bercerai talak satu dengan Fiza Elite atau Siti Zaidatul Fiza Abd Halim.

Bahaya Cinta juga bukan filem pertamanya kerana pernah membintangi filem Apokalips X arahan Mamat Khalid. Bagaimanapun, kemunculannya kali ini disifatkan ‘indah khabar dari rupa’, terutama dari segi kualiti visual dan kerja kamera yang selayaknya hanya telefilem untuk disiarkan di televisyen.

Apakah Adam sekadar tangkap muat menerima tawaran? Apabila perkara itu diajukan kepadanya, wajah Adam berubah hingga menampakkan rasa kecewa. Hakikatnya, ada cerita kelat disimpan Adam apabila menjayakan filem ini.

Katanya, pada peringkat awal mendapat tawaran, dia dimaklumkan ia adalah supertelefilem untuk televi­syen, tetapi terkejut apabila di angkat ke layar perak.

“Saya dapat tahu karya ini diangkat ke filem melalui peminat yang ternampak poster filem itu. Tidak dinafikan produser memberitahu kemungkinan membawa ia ke filem, tapi saat itu belum disahkan lagi.

“Sudah tentu saya sedikit kecewa apabila ada pihak mengatakan karya ini indah khabar dari rupa. Hakikatnya, spektrum filem dan televisyen adalah dua perkara berbeza.

“Apabila sebuah karya dihasilkan untuk televisyen diangkat ke filem, ia sebenarnya menjatuhkan kualiti dari segi teknikal dan paparan visual.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana menjadi hak produser untuk berbuat begitu,” katanya.

Adam juga menafikan timbul masalah bayaran kerana harga untuk filem dan telefilem sudah tentu berbeza. Selalunya apabila karya diang­kat ke filem, artis dibayar mengikut harga filem yang jauh lebih tinggi berbanding harga drama.

Katanya, tidak timbul isu bayaran mungkin sama seperti drama kerana ia dibincangkan dengan produser.

“Saya harap tidak timbul isu mengenai perkara ini kerana mahu menjaga hubu­ngan baik yang terjalin antara saya dan pihak produksi,” katanya.

Filem Bahaya Cinta adalah usaha sama pertama membabitkan Malaysia, Indonesia dan Vietnam. Hampir 70 peratus penggambaran dilakukan di Hanoi, Vietnam.
Previous Post Next Post