Putus cinta, Azwan tagih penjelasan Nad


TIDAK puas hati, Azwan nekad mahukan penjelasan daripada Nad.

TANPA ada ribut atau taufan melanda hubungan cinta pelakon genit, Nad Zainal dan Azwan Kombos, menerusi sebuah rancangan televisyen baru-baru ini, pasangan itu mengakui kini sudah putus dan tiada sebarang ikatan lagi.

Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin, 24, membuat pengakuan bahawa hubungannya dengan Azwan yang terjalin selama tiga tahun sudah bertemu pengakhirannya.

Katanya menerusi temu bual dalam rancangan televisyen itu: “Saya rasa tiada benda lagi nak cakap. Everything is over! Hanya kami tahu kenapa, masyarakat tak perlu masuk campur. Ada sebab masing-masing dan tak dapat nak teruskan hubungan.”

Bulan Mac lalu, pasangan itu telah menghadiri kursus perkahwinan bersama-sama, namun menjelaskan, tiada sebarang perancangan untuk mendirikan rumah tangga dalam tempoh terdekat.




ARTISMELETOP! menghubungi pelakon filem Belukar, Azwan Kombos untuk mendapatkan komen lanjut berhubung situasi tersebut. Ikuti temu bual terbabit.

ARTISMELETOP!: Difahamkan hubungan Azwan dan Nad Zainal kini telah putus. Benarkah?

AZWAN: Ya, memang itu yang terjadi. Pada mulanya saya langsung tidak tahu bahawa kami telah putus sehinggalah dimaklumkan melalui media sosial seperti Instagram dan Twitter. Saya terkejut sebenarnya kerana saya yang sepatutnya menjadi orang pertama yang tahu kalau kami sudah putus.

Bagaimanakah sebenarnya situasi sebelum Nad mendedahkan kepada sebuah rancangan TV hujung minggu lalu bahawa kalian berdua telah putus?

Hari Rabu minggu lepas kami keluar bersama-sama. Tiada apa yang mencurigakan dan hubungan kami baik-baik saja, normal seperti sediakala. Namun, kemudiannya dia mulai dingin dengan saya sehingga keluar cerita ini (putus cinta).

Adakah dia jelaskan sebab putuskan cinta dengan anda?

Saya tidak berpeluang lagi untuk bersemuka dengannya tetapi saya ada menghubunginya selepas keluar cerita itu. Dia memberitahu saya bahawa semuanya telah berakhir. Dia tidak mahu ada sebarang hubungan lagi dengan saya selepas ini.

Apakah tindakan lanjut yang anda mungkin anda lakukan untuk memperbaiki hubungan ini?

Saya ingin bersemuka dengannya dan mendapatkan penjelasan lanjut mengenai keputusan nekad yang dia pilih. Saya mahu duduk dan berbincang sekiranya ada masalah antara kami yang masih belum selesai. Apa pun, saya hormati keputusannya.

Mungkin keputusannya didorong oleh kemunculan orang ketiga atau kisah lama bahawa dia menaja anda menjadi barah dalam hubungan cinta kalian?

Saya tidak tahu. Kalau setakat bergaduh manja itu biasalah hubungan bercinta, semua orang akan alami perkara yang sama. Pasal orang ketiga pun saya tidak tahu, mungkin juga benar, mungkin juga tidak. Cerita dia menaja saya itu sudah lama dan sudah dijelaskan dan saya tidak menuding jari kepada sesiapa, cuma saya mahukan penjelasan daripadanya.

Selepas menghadiri kursus perkahwinan, sudah pasti hubungan kalian adalah hubungan yang serius. Mungkin ini sekadar dugaan pasangan bercinta dan ada kemungkinan untuk kalian berbaik semula?

Jauh di sudut hati saya mahukan yang terbaik untuk kami berdua. Doa-doakanlah.
Previous Post Next Post