KENANGAN menyanyi bersama arwah ibunya, Zainon Hassan beberapa puluh tahun sebelum ini yang menerjah kotak fikiran membuat penyanyi bersuara emas, Datuk Jamal Abdillah, menitiskan air mata.
Titisan air mata penyanyi berusia 55 tahun itu tumpah tatkala lagu Penawar Kasih didendangkannya pada sambutan Hari Ibu yang berlangsung di Dewan N’Dah Shah Alam baru-baru ini.
“Saya terkenang kembali saat manis bersama arwah ibu. Ketika itu saya sedang duduk bermain gitar manakala ibu pula menyanyi di dapur mengikut petikan gitar yang dimainkan.
“Tidak banyak kenangan yang ada bersama arwah kerana saya kurang menghabiskan masa bersamanya kerana sibuk dengan karier seni,” ujar Jamal yang berhijrah ke Kuala Lumpur ketika usianya 18 tahun.
Arwah ibu Jamal yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi meninggal dunia pada tahun 1991.
Tidak hanya sebak mengenangkan arwah ibunya, Jamal juga mengakui akan menitiskan air mata kerana terlalu menghayati lirik lagu yang dinyanyikan.
“Saya akan menghayati setiap bait-bait lagu yang disampaikan dengan sepenuh hati sehingga menitiskan air mata,” luahnya.
Tetamu-tetamu yang sebilangan besarnya terdiri daripada ibu dihiburkan dengan 17 rangkaian lagu popular Jamal termasuk Gadis Melayu, Kekasih Awal dan Akhir, Rayuan Maut, Mati Hidup Semula, Kau Lupa Janji, Antara Yakin dan Curiga, Keluhan Perantau, Penawar Kasih Perjalananku, Berdendang Dalam Tangisan, Sepi Seorang Perindu dan Takdir Penentu Segala.
Jamal turut menjemput dua peminat yang memiliki suara yang sama dengannya ke atas pentas untuk berduet bersama lagu Ghazal Untuk Rabiah.
Jamal juga tidak menghampakan permintaan peminat apabila menyanyikan lagu popularnya, Azura secara minus one walaupun lagu tersebut tiada dalam senarai lagu pada malam itu.
Bersara
Sambutan Hari Ibu pada malam itu juga meriah dengan persembahan duet Jamal dengan penyanyi undangannya, Nas Adila menerusi lagu Kehebatan Cinta dan Sandarkan Pada Kenangan.
Selain persembahan Jamal, majlis pada malam itu turut diserikan dengan penampilan Nas Adila selaku penyanyi jemputan dan Jihan Raja Lawak selaku pengacara.
Ditebak adakah dia bakal bersara daripada bidang nyanyian seperti yang dinyatakan pada majlis persembahan Minggu Setiausaha di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), April lalu, Jamal segera menafikannya.
JAMAL bakal berkongsi pentas persembahan konsert bersama Eddy Silitonga di Istana Budaya menjelang Ogos depan.
Sebaliknya, penyanyi yang berasal dari Ipoh, Perak itu mengakui, nyanyian merupakan jiwanya dan akan terus menyanyi selagi hayat dikandung badan.
“Saya tidak akan berhenti menyanyi. Semuanya salah faham apabila kenyataan saya pada majlis persembahan Minggu Setiausaha itu disalahertikan peminat dan media yang hadir.
“Ketika menjemput anak saya Osama ke atas pentas, saya ada mengatakan ingin bersara tetapi itu semua hanyalah skrip persembahan pada hari itu semata-mata dan ia juga merupakan gimik pada hari itu,” jelasnya yang sudah menyanyi sejak 34 tahun lalu.
Jamal turut memberitahu, peminatnya marah dan kecewa membaca berita mengenai keinginannya untuk bersara dalam bidang nyanyian.
Konsert
Pada malam yang sama, Jamal menerima kejutan daripada kelab peminatnya (Kelab Peminat Datuk Jamal Abdillah) yang turut meraikan hari ulang tahunnya yang ke-55 tahun pada 9 Mei lalu.
Menurut Jamal, impiannya sempena sambutan hari ulang tahun adalah ingin menjadi bapa yang lebih baik buat dua anak, Osama Yamani, 13, dan Ahmad Zaki, 7.
“Saya mahu melihat kedua-dua anak saya berjaya dalam hidup. Saya juga bersedia andai Osama berkecimpung dalam dunia nyanyian dan ingin bersaing dengan saya. Namun, dia mesti berusaha untuk menjadi sehebat Allahyarham Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee dan Datuk Ramli MS,” tuturnya.
Pada masa yang sama, Jamal memberitahu, dia bakal sibuk membuat persiapan sempena konsertnya bersama penyanyi terkenal Indonesia, Eddy Silitonga yang akan berlangsung di Istana Budaya pada Ogos depan.
Mengulas lanjut mengenai gandingannya bersama penyanyi yang begitu sinonim dengan lagu Biarlah Sendiri itu, Jamal mengakui sudah lama mengimpikan untuk berada satu pentas bersama Eddy yang popular sekitar tahun 70-an.
“Saya cukup meminati dan mengagumi beliau. Alhamdulillah impian untuk menyanyi bersamanya terlaksana,” katanya yang akan bergabung di dalam konsert yang dinamakan sebagai Konsert Nostalgia.