HUJAN mencurah-curah di pekan Meru, Selangor sewaktu majlis pernikahan pelakon veteran, Ruminah Sidek, 68, berlangsung di kediaman abang iparnya pada pagi Sabtu lalu.
Bagaikan berjanji, selebat hujan yang turun di luar rumah, begitu jua dengan air mata murni Ruminah atau mesra menggelarkan dirinya sebagai Mak Mah sewaktu akad nikah sempurna dilafazkan suaminya, Al Fatah Rahim Ismail, 70.
Tangisan itu tanda kegembiraan dan kesyukuran doa yang telah ditanam dalam hati semasa mengerjakan ibadah umrah di tanah suci Mekah dua bulan lalu telah diperkenankan Ilahi.
Takdir juga telah menentukan jodoh aktres senior kesayangan ramai itu dengan seorang duda yang tanpa disedari turut sama menitipkan doa tersebut agar dipertemukan jodoh untuk menemani sisa-sisa kehidupan mereka.
"Mak Mah bersyukur dapat menghabiskan saki baki hidup ini sebagai seorang isteri. Alhamdulillah, kami selamat disatukan sebagai suami isteri.
"Mohon peminat mendoakan kebahagiaan rumah tangga yang baru dibina ini hingga ke akhir hayat," ujarnya riang biarpun sekali sekala menyeka air mata yang masih bersisa di kelopak mata.
Pasangan warga emas terbabit dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Masjid As Syarif, Meru, Mohd. Jani Salman dengan disaksikan adik pengantin perempuan, Mohd. Zainal Sidek pada pukul 9.20 pagi.
Mak Mah yang telah membintangi lebih 25 filem sejak mula bergiat dalam bidang seni menerusi filem Anak Bapak pada tahun 1968 itu menerima mas kahwin sebanyak RM300.
CINTA pandang pertama antara Al Fatah dengan Mak Mah diikat sebagai suami isteri.
Memilih untuk tidak mengkehendaki sebarang wang hantaran, kedua-dua mempelai masing-masing berbalas 12 dulang hantaran. Antara hantaran diterima Mak Mah ialah sebiji kek, senaskhah al-Quran, beg tangan, kasut, sejadah, minuman bikarbonat dan telekung.
Al Fatah pula menerima set wangian, sebiji kek, tepak sirih, persalinan, sejadah, tuala dan buah-buahan.
Seri pengantin
Menyarung persalinan putih pada majlis akad nikah sebelah pagi, Mak Mah biar basah dengan air mata kelihatan berseri untuk bersatu dengan lelaki yang bakal menemani separuh lagi perjalanan hidupnya. Begitu juga dengan Al Fatah yang tampak begitu segak bersama persalinan lengkap songkok.
Mereka yang kemudian memakai busana berwarna ungu tajaan Azika Collection di singgahsana pelamin rekaan Adi Wedding Decoration pada majlis resepsi juga tampil berseri. Seri pengantin, kata orang lama.
Kebetulan ia kali pertama buat ibu kepada aktor, Adlin Aman Ramlie itu bersanding di pelamin biarpun sudah menempuhi tiga kali alam perkahwinan sebelum ini termasuk dengan pelawak legenda, AR Tompel.
Mak Mah memberitahu, perkahwinan mereka berdua menyatukan keluarga masing-masing yang sudah sedia besar.
Dia merupakan ibu tunggal kepada enam anak dan 20 cucu manakala Al Fatah yang merupakan seorang peneroka Felda Jelai, Gemas, Negeri Sembilan pula bapa tunggal kepada 10 anak dan 30 cucu.
Kegembiraan jelas kelihatan pada wajah kedua-dua belah keluarga. Sanak saudara Mak Mah termasuk anak bongsunya, Adlin Aman Ramli dan isteri, Emelda Rosnaida serta anak tiri, AR Badul ceria berbusana ungu.
Majlis resepsi itu juga tidak lekang dengan gelak tawa hampir 50 ahli keluarga Al Fatah yang segak memakai busana berwarna jingga.
Mengulas gelodak perasaan bergelar suami kepada seniwati terkenal, Al Fatah mengakui pada mulanya dia agak gementar apabila memikirkan penerimaan peminat dan rakan artis Mak Mah.
"Saya juga memikirkan bagaimana hendak berhadapan dengan wartawan yang ramai membuat liputan majlis pernikahan kami tetapi keramahan mereka membuatkan saya selesa.
"Hilang gementar, datang keserasian. Tak sangka seorang peneroka dapat mengahwini seniwati," katanya ceria dalam gelak tawa.
RESTU... Adlin Aman Ramli dan isterinya, Emelda teruja dengan pernikahan baharu Mak Mah dan bapa mertua mereka, Al Fatah.
Bercerita tentang perancangan masa depan, Al Fatah memberitahu, mereka sudah sepakat untuk menjalani kehidupan berumah tangga di Felda Jelai.
Jelasnya, mereka bakal menjalani kehidupan sebagai peneroka Felda yang mengerjakan kebun getah dan menghabiskan usia senja dengan beribadah kepada Allah bersama-sama.
Begitupun jelas Al Fatah, dia tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya Mak Mah masih mahu aktif sebagai pelakon biarpun sudah bergelar isteri.
"Saya kena reda, itu kerjaya dia. Saya izinkan (berlakon) tetapi tak perlu sampai saya ikut sekali ke set penggambaran," ujarnya.
Mak Mah dan Al Fatah sepakat mengimpikan untuk mengerjakan ibadah haji bersama-sama suatu hari nanti sebagai percutian bulan madu paling berharga.
Jelas Al Fatah, selain mengimbau lokasi perkenalan awal mereka, sebagai seorang Muslim, dia beranggapan tanah suci Mekah dan Madinah adalah lokasi paling diangankan untuk dijejaki.
Sementara itu Adlin dan Emelda berkata, mereka berkongsi kegembiraan dan kesyukuran ibunya yang lama hidup sendiri kini sudah memiliki teman sehidup semati.
Justeru, pasangan suami isteri itu mendoakan kesejahteraan, kebahagiaan dan kemudahan ibu dan bapa tiri baharunya itu menjalani kehidupan dan beribadah.
"Selain mengharapkan 'adik' baharu, saya juga pening nak balik kampung mana, sama ada Felda (kediaman Al Fatah), Meru (rumah Mak Mah) atau Perak (kampung Emelda) pada Aidilfitri tahun ini," selorohnya sambil mengerling kepada Emelda.