Kasihan Encik Mimpi




Aida bukanlah nak mengata, apatah lagi nak mengeji. Maklumlah, rezeki makhluk Allah ni hanya Dia sahaja yang mengetahui. Cuma apa yang Aida cuba nak sampaikan, mengukur baju biarlah di badan sendiri.

Ada seorang penyanyi ni, alah yang pakai topeng muka tu, Encik Mimpi (EM) nama dia. Baru setahun jagung dalam industri, tiba-tiba Hits dapat jemputan dia akan mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe (HRC), Kuala Lumpur.

Apa lagi, Aida terus termenung kejap dok memikir, ada ke peminat si EM tu sampai melayakkan dia buat persembahan dekat kelab hiburan terkenal kota metropolitan ni?






Masa berlalu, hari dinanti pun tiba, tup-tup tunggu punya tunggu, adalah lebih kurang 20 orang peminat saja yang datang. Bayangkan betapa lengangnya kelab tersebut. Sangat tidak happening!.

Habis nyanyi tujuh lagu, Aida terus dapatkan EM. Katanya persembahan tersebut HRC yang tawarkan, bukan diuruskan oleh pengurusannya. Kalau ya pun kisahnya macam tu, takkanlah EM tak boleh nak tafsir sendiri tahap populariti yang dikecapi. Boleh laku ke tiket? Tak pasal-pasal HRC tanggung rugi. Tak ke tercemar reputasi?

Hurmmm, entahlah, tak tahu Aida nak cakap apa, tepuk dada tanya selera masing-masing. Apapun, semoga single terbaharu EM berjudul Ayuh Tinggalkan Dia dan lagu-lagu seterusnya mampu melonjakkan lagi namanya, barulah ada potensi nak jayakan persembahan.

Nota Lutut: Orang kata lelaki anak emak ni jodoh memang lambat. Ya ke?
Previous Post Next Post