Kerana Warna Kulit, Ayu Damit Digelar Sembuwong



Dicungkil bakatnya menerusi program realiti nyanyian terbitan 8TV, ‘One in a Million 2’ (OIAM2), Norayu Damit menyandang gelaran juara menewaskan Shila Amzah dan Sarah Raisuddin. Wanita yang mesra dengan sapaan Ayu ini merupakan antara penyanyi Malaysia yang mempunyai vokal lantang. ARTISMELETOP senaraikan 12 perkara menarik mengenai Ayu yang mungkin peminatnya tidak tahu.

1. Sewaktu zaman kecil dulu, sepupu-sepupu Ayu memanggilnya dengan nama Sembuwong. Nenek Ayu yang memberikan Ayu nama itu kerana Sembuwong membawa maksud kumbang hitam, melihatkan kepada warna kulit Ayu yang hitam manis. Panggilan itu terus melekat sehingga sekarang di kampung.

2. Warna kegemaran pelantun lagu ‘Hanya Di Mercu’ ini adalah hitam sebab itu kebanyakan barang-barang yang dibelinya berwarna hitam.

3. Baru sahaja mendapat lesen memandu kereta. Pernah terlibat dengan kemalangan jalan raya suatu ketika dahulu membuatkan Ayu tidak berani memandu kereta. Namun begitu, Ayu kini tekadkan hatinya untuk memandu kerana tuntutan bisnes perladangan yang dilakukan olehnya. Ini kerana dia harus berulang alik dari Kuala Lumpur ke Perak.

4. Ayu sangat aktif dalam sukan bola baling. Pernah mewakili sekolah sehingga ke peringkat daerah dalam sukan tersebut.

5. Ayu juga aktif menyanyi semenjak sekolah lagi. Menerusi kumpulan nasyid yang Ayu sertai, kumpulan tersebut pernah bertanding sehingga ke peringkat negeri.

6. Bercakap mengenai makanan, Asam Laksa menjadi kegemarannya untuk menjamu selera. Tomyam Cendawan pula menjadi hidangan kepakarannya yang seringkali disediakan untuk menjamu keluarganya.






7. Ayu belajar memasak semenjak umur 8 tahun. Satu insiden lucu pernah berlaku di mana Ayu terlupa mengisi air dalam beras yang hendak ditanaknya. Ketika itu ibunya sedang berpantang dan dia cuba untuk membantu memasak nasi.

8. Ayu mendedahkan sukar mencari baju yang betul-betul muat dengan dirinya. Walaupun baju yang dibeli bersaiz XS atau S, potongannya tetap besar dan Ayu harus menghantar baju tersebut ke kedai jahit untuk dikecilkan.

9. Negara paling jauh pernah Ayu lawati adalah Indonesia. Ayu belum berpeluang melancong bersama keluarganya atas desakan kerjaya, namun dia menyimpan hasrat tersebut satu hari nanti.

10. Ayu seorang penggila beg tangan. Jika ada beg tangan yang cantik di pandangan matanya, Ayu akan membelinya, tidak kiralah beg tersebut murah atau pun mahal. Ayu mengumpulkan koleksi beg tangan miliknya dalam satu almari dan disimpan dengan baik.

11. Sewaktu persaingan Ayu dalam OIAM 2, Ayu sangat rapat dengan Shila Amzah. Walaupun Ayu lebih tua dari Shila, namun Ayu selalu beranggapan yang Shila adalah kakak dan Ayu adalah adik. Ayu sangat bangga melihatkan kejayaan Shila yang kini menawan dunia dengan bakatnya,

12. Bercakap mengenai teknologi telefon, Ayu akan menukar telefon bimbitnya jika perlu. Melihatkan kepada teknologi yang berkembang, dalam tahun lalu sahaja, sudah tiga kali Ayu menukar telefon bimbit. Ayu sangat mementingkan teknologi kamera yang ada dalam telefon bimbitnya.
Previous Post Next Post