
BUKAN sekali tempias berita kurang enak bertebaran sepanjang hidupnya. Bukan sekali dua juga dia mengelak untuk menjawab apa sahaja berita tak benar yang cuba disampaikan oleh pihak yang kurang senang dengan dirinya.
Bagi wanita ini, dia enggan memanjangkan apa juga kata-kata negatif orang yang iri hati padanya. Apa sahaja kesimpulan yang dibuat tentang dirinya langsung tidak meninggalkan kudis kepadanya.
Menginjak usia 40 tahun, 11 Mei lalu, Norish Karman tahu dia cukup matang untuk menghadapi apa juga masalah. Dalam usia begitu pastinya dia cukup 'masak' untuk menentukan hala tuju hidupnya.
Pun begitu wanita yang lebih mesra disapa dengan panggilan NK ini yakin, kesabaran dirinya melalui segala ujian yang melanda hidupnya telah menutup banyak spekulasi selama ini.
"Apa lagi yang orang tak kata tentang saya? Bila bergelar ibu tunggal dan membesarkan anak-anak semua orang memandang serong pada orang macam saya.
"Adakah buruk sangat gelaran itu? Tapi saya tak pernah patah semangat. Lagi banyak orang berkata buruk tentang saya lagi bersemangat saya nak meneruskan kehidupan sebagai orang yang sabar.
"Saya tak pernah melayan kata-kata orang. Mungkin mereka sendiri tidak pernah mengenali saya dan kurang faham apa yang berlaku. Biarkan sahaja mereka," jelas NK ketika sambutan hari lahirnya Ahad lalu.
Sambutan yang diadakan di kediaman mewahnya itu turut dihadiri ahli keluarga, peminat dan rakan-rakan artis termasuklah Nassier Wahab dan Black Hanafiah.
Di sebalik sikap kelembutan wanita ini tidak dinafikan ada kala hati wanitanya tersentuh dengan pelbagai tomahan terhadap dirinya selama ini.
Baginya dia tidak pernah menjawab sekali pun cerita buruk yang tersebar di surat khabar mahupun medium lain memandangkan perkara tersebut akan merumitkan lagi keadaan.
"Orang tak nampak kerja keras saya selama ini membesarkan anak-anak. Daripada saya melayan cakap orang baik saya beri perhatian kepada anak-anak yang sedang membesar.
"Paling tidak saya telah membuktikan status saya bukan penghalang untuk berjaya. Jangan ingat bila sudah bergelar janda masa depan kita akan gelap," tegasnya lagi.
Selain sibuk berlakon, NK juga sibuk menguruskan bisnes katering yang diusahakan sejak beberapa tahun yang lalu.
Bantuan
TIDAK dinafikan sejak menyandang status ibu tunggal NK sering kali menjadi tempat mengadu para wanita yang menghadapi masalah selepas berpisah dengan suami mereka.
Pastinya situasi berkenaan cukup dirasai oleh ibu kepada empat cahaya mata ini memandangkan dia sendiri pernah menghadapi situasi yang sama termasuklah naik turun mahkamah.
Baginya kebanyakan wanita yang bergelar janda menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan memandangkan selama ini mereka bergantung hidup kepada lelaki yang bergelar suami.
"Tak dinafikan dalam fasa pertama ramai yang merasakan kehidupan mereka gelap, tidak tempat mengadu dan seribu satu masalah lain yang membelenggu.
"Bila ada yang mengadu pada saya pastinya saya akan cuba sedaya upaya membantu mereka. Mereka perlukan nasihat, kata-kata semangat dan peluang untuk meneruskan hidup terutama mencari rezeki pada anak-anak," cerita NK lagi.
Baginya dia tidak pernah lokek untuk bercerita dan memberikan motivasi kepada golongan ini dan dalam masa yang sama mahu mereka mengambil contoh kisah yang terjadi pada dirinya.
Selain itu, NK juga kerap diundang memberikan motivasi kepada para pelajar sekolah dan universiti untuk berkongsi kisah-kisah menarik kepada golongan tersebut.
Ditanya tentang kisah peribadi pula, NK tidak mengelak saat ditanya adakah dia masih teringin untuk berumah tangga semula.
Ujarnya, dia memang merancang untuk berumah tangga tetapi masih memikirkan calon yang sesuai yang mampu menerima dirinya dan anak-anak tanpa prejudis.
"Bukan tak ada yang cuba rapat sejak akhir-akhir ini tetapi saya tak ada masa untuk melayan mereka. Kalau tak sibuk dengan kerja masa terluang saya hanya untuk anak-anak.
"Kalau ada calon yang benar-benar ikhlas untuk menerima anak-anak saya akan kahwin segera. Saya pun tak mahu membebankan bakal suami memandangkan saya ada empat anak," katanya tertawa.