Rekaan Rico Rinaldi Bakal Jadi Perhatian Dunia


Rico Rinaldi

Semuanya bermula dengan sebuah sesi fotografi di Singapura, kini nama pereka fesyen tempatan Rico Rinaldi menjadi perhatian di peringkat antarabangsa apabila rekaannya bakal di pamerkan di Asia’s Fashion Gateway pada pertengahan Mei ini.

Membawa label fesyennya sendiri iaitu Rico Rinaldi, dia akan berkampung selama empat hari di dua lokasi berbeza di Singapura bermula 15 hingga 18 April ini.

Bercakap kepada portal ARTISMELETOP, Rico Rinaldi berkata semuanya bermula apabila dia diminta untuk membuat pertunjukan fesyen mini pada majlis pameran barangan kemas di Singapura dan sejak itulah semuanya berjalan.




“Disember tahun lalu saya ke Singapura untuk menjalani sesi fotografi koleksi pakaian wanita rekaan saya di sana.

“Itupun saya mendapat peluang daripada pelanggan saya di Singapura dan dia agak dikenali dalam industri fesyen di sana.

“Mereka suka dengan koleksi saya kerana pada mereka rekaan saya berbeza dengan kebanyakan pereka fesyen Malaysia yang pernah mereka Nampak ketika pameran fesyen di sana,” katanya yang sedang berada di Jakarta ketika ini.

Rico Rinaldi bakal membawa nama negara bersama-sama rekaannya yang artistik lagi tersendiri pada pameran perdagangan Blueprint dan juga Emporium Sale of Blueprint bermula 15 hingga 18 Mei ini.

Kata Rico Rinaldi, pihak penganjur Minggu Fesyen Singapura berbesar hati untuk menaja separuh perbelanjaannya untuk membuat pameran dan pertunjukan sempena festival fesyen berkenaan pada Mei ini.

Manakala separuh lagi perbelanjaan kata Rico Rinaldi dia akan meminta bantuan daripada pihak Martrade bagi memastikan impiannya untuk membuat pertunjukan yang bakal di hadiri ramai peminat fesyen dunia itu akan terlaksana.

“Ini adalah pertama kali saya mengambil bahagian dan apa yang boleh saya katakan, sekurang-kurangnya saya boleh memberi tahu pelanggan dari pelbagai negara yang bakal hadir nanti yang saya berasal dari Malaysia.

“Saya juga akan mengwar-warkan kepada mereka bahawa industry fesyen di Malasia semakin berkembang,” katanya.
Previous Post Next Post