Alyah Janji Akan Umumkan Pasal Isu Kahwin



Penyanyi Alyah mengakui terdapat ramai pihak terutama sekali media yang ingin tahu berkenaan status dirinya termasuk pengumuman tarikh perkahwinannya yang telah digembar-gemburkan kebelakangan ini.

Ketika ditanya persoalan yang sama kepada penyanyi Kisah Hati itu, Alyah bagaimanapun hairan mengapa ada pihak yang mengatakan bahawa dia akan membuat pengumuman berkenaan isu itu dalam masa terdekat.

Katanya, dia memang pernah menyatakan kepada pihak media berkenaan hasrat hatinya itu, bagaimanapun tidak pernah pula menyatakan tarikh atau durasi yang khusus, apatah lagi dalam masa terdekat.




“Memang saya pernah bagi tahu yang saya akan umumkannya. Tapi tak pernah pula dalam hujung tahun ini atau dalam masa terdekat.

“Ramai juga yang asyik bertanya sama ada saya sudah berkahwin atau belum dan juga bilakah saya mahu mengumumkannya. Tapi saya tak ada semua jawapan itu buat masa sekarang.

“Jadi apa yang boleh saya katakan di sini, apabila tiba waktunya saya akan umumkan juga.

“Sama ada dalam masa terdekat atau lama itu bergantung kepada keadaan,” katanya ringkas kepada portal ARTISMELETOP dan enggan mengulas lanjut.

Alyah telah terbang ke Ho Chi Minh, Vietnam sejak pagi tadi dan akan berada di bandaraya eksotik berkenaan untuk beberapa hari.

Kata Alyah, kunjungannya ke sana hanyalah untuk menemani ibu tercinta bercuti dan membeli- belah bagi memenuhi kesempatan cuti yang ada.

Dia akan pulang ke tanah air pada Isnin ini bagi memenuhi sesi penggambaran klip video terbarunya, Sesal Separuh Nyawa yang bakal diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar.
Previous Post Next Post