Shah Iskandar Artis Singapura Cari Makan Di Malaysia Perlu Fikir Panjang


Shah Iskandar anggap perjalanan masih jauh untuk jadi seperti Aaron Aziz

Pelakon kelahiran Singapura iaitu Shah Iskandar memberi nasihat kepada artis-artis dari negara itu yang ingin mencuba nasib di Malaysia supaya berfikir panjang sebelum membuat keputusan tersebut.

Shah atau nama sebenarnya Shah Iskandar Mahfuz, 32, berkata, tindakan mencuba nasib di negara orang bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan banyak pengorbanan.

Saya nasihatkan kepada artis Singapura yang ingin datang mencuba nasib di negara ini agar mereka fikir panjang kerana ia bukan senang seperti yang mereka sangkakan.

"Jangan terlalu fikirkan tentang populariti sahaja tetapi pengorbanan yang terpaksa dilakukan kepada kerjaya tetap yang mungkin ada dan keluarga sebelum bekerja di sini," katanya kepada ARTISMELETOP.






Tambah Shah, dia yang sudah menetap hampir lima tahun di negara ini terpaksa memulakan semula kerjaya seninya daripada bawah dan meninggalkan ibunya, Haliza Yusof bersendirian di Singapura.Katanya, bukan sahaja itu, artis-artis Singapura juga perlu kuat daripada segi mental dan fizikal untuk bersaing dengan artis-artis tempatan yang sudah ada nama.

"Saya rasa pengorbanan paling utama saya ialah terpaksa tinggalkan ibu bersendirian di sana namun saya sering berulang alik untuk melihat keadaan dia.

"Selain itu, kalau mahu diikutkan kerjaya saya sebagai artis di sana, saya sudah selesa, namun saya kena bermula semula daripada kosong untuk berada di sini," katanya yang baharu memenangi anugerah Pelakon Drama Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH 2013) pada Sabtu lalu.

Sementara itu, dia yang dikatakan bakal menjadi pengganti kepada aktor kelahiran Singapura juga iaitu Aaron Aziz menganggap perjalanan ke arah itu masih jauh.

Namun, Shah berkata, dia akan terus berusaha untuk meningkatkan prestasinya dalam industri seni negara ini agar seiring dengan pelakon itu.

"Aaron Aziz sudah ada tahap dia sendiri yang mana bagi saya dia sudah mempunyai nama yang kuat dalam industri seni di Malaysia.

"Untuk saya sampai ke tahap itu masih banyak masa yang diperlukan namun saya akan terus berkerja keras untuk berada di tahap tersebut," katanya.
Previous Post Next Post