Adira Diperguna pengeluar kosmetik



PUNYA tona kulit putih melepak dan mulus, bohonglah kalau tiada yang cemburu dengan kecantikan yang dimiliki Adira.

Setiap kali tiada lain yang dikaitkan dengan penyanyi itu selain isu tona kulitnya yang ditanya dan dibualkan.

Barangkali sukar menjadi seorang Adira kerana sebagus mana pun bakatnya, soal tona kulit juga yang mahu dibicarakan orang seolah-olah tiada hal lain atau pencapaian lain yang wajar untuk dibanggakan sebagai seorang anak seni.

Entah kenapa isu tona kulitnya yang putih gebu itu seakan-akan sukar dialihkan daripada menjadi topik perbincangan sehingga kadangkala terfikir, sampai bila orang asyik nak bercerita dan mahu terus mencemburui kecantikan yang dia ada?

Biarpun berkali-kali menafikan tiada suntikan atau ubat-ubatan pemutih diamalkan, Adira tetap menerima tuduhan sebegitu yang akhirnya memualkan dirinya daripada terus menghadam apa jua pandangan sinis orang yang sentiasa klise berseronok membuat telahan sendiri.






Enggan terlalu mengambil pusing dengan pandangan orang bagaimanapun, ada satu hal lain yang lebih meraih perhatian anak kelahiran Ranau, Sabah ini dalam mengaitkan kelebihan kecantikan yang dimilikinya.

Mungkin pada awalnya dia bersikap tidak kisah dan berdiam diri namun semakin lama semakin keterlaluan dirasakan oleh Adira apabila ada pula pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap dirinya mempromosi dan mengaut keuntungan sewenang-wenang tanpa pengetahuannya.

Ini termasuk menggunakan nama atau gambar tanpa persetujuannya mahupun pihak pengurusan Astro sendiri mengenai sebarang perjanjian atau kontrak menjadi duta atau jurucakap produk tertentu.

Bukan satu, bukan dua, bahkan lebih dari jumlah itu yang menyaksikan pemilik produk kecantikan dan kosmetik mengguna pakai nama dan gambar Adira secara 'haram' atas tujuan mahu melariskan produk jualan mereka yang barangkali belum tentu mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Merasakan dirinya teraniaya, Adira kesal dan kecewa dengan apa yang berlaku kerana bukan sahaja melibatkan nama baiknya tetapi paling dibimbangi sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini terhadap pengguna produk-produk terbabit.






"Sudah tiba masanya untuk saya suarakan hal ini. Bukan soal saya sombong, angkuh tak mahu orang punya bisnes laris atau mahu memusnahkan periuk nasi orang lain.

"Tetapi saya lihat golongan ini melampau. Guna nama dan gambar saya, kadang-kadang gambar lain sanggup diubah suai seolah-olah saya pegang produk mereka dan katakan yang saya guna produk itu. Sedangkan perkara itu tidak benar.

"Kalau pengguna dapat rasai kelebihan dan kebaikan produk itu, Alhamdulillah. Peniaga bolehlah rasa selamat. Tapi macam mana pula kalau mendapat kesan buruk daripadanya? Mereka tak terus salahkan peniaga, mereka salahkan saya pula sebab kadang-kadang ada yang beli produk sebab percaya pada artis yang mempromosi produk tersebut.

"Saya bukan cakap kosong, hal ini pernah berlaku dan saya dipersalahkan. Itu yang saya bimbangkan," kata pengasas produk Adira Beauty Signature ini.

Anak bongsu daripada lapan beradik ini bagaimanapun mengaku, hal yang telah empat tahun berleluasa sepanjang penglibatannya dalam industri hiburan pada awalnya cuma dipandang ringan sehinggalah dia dinasihatkan oleh pihak pengurusannya supaya bertegas.

"Malah berdasarkan perbincangan bersama, mereka (pengurusan Astro) mahu mengambil tindakan undang-undang sekiranya masih ada pihak peniaga dan pemilik produk yang mengguna pakai nama dan gambar Adira sebagai pelaris secara haram.

"Macam-macam produk kecantikan, ada yang untuk memutihkan kulit, membesarkan payudara malah membesarkan punggung pun ada! Adakah logik perkara itu?

"Saya tak mahu pengguna percaya bulat-bulat apa yang dipromosikan sebab saya tak pernah pakai produk-produk itu. Saya cuma menjadi duta untuk NH Fibre Plus. Kalau betul nak saya jadi duta atau jurucakap, jumpa dan bincang hal ini dengan cara yang betul.

"Apabila mereka buat begitu, seolah-olah mereka tidak menghormati saya. Itu yang saya terkilan. Saya harap mereka hentikan perbuatan itu segera sebelum tindakan undang-undang diambil," katanya dengan tegas.
Previous Post Next Post