Ahmad Idham: Tanggungjawab sebagai anak seni!



MEMULAKAN langkah dalam industri seni pada 1994 sebagai pelakon, nama ikon seni ini tidak perlu diperkenalkan secara terperinci lagi.

Walaupun pembabitan awalnya bermula dari bawah, namun perjalanan seni ikon ini wajar dijadikan contoh apabila turut berjaya menembusi beberapa bidang seni termasuk pengarahan, penulisan skrip dan penerbitan.

Siapa tidak kenal pemilik syarikat produksi, Excellent Pictures Sdn Bhd ini, bicaranya sangat bernas, tidak lokek memberi saranan dan nasihat, malah dia merupakan ikon seni yang berpandangan jauh.

Sayangnya kepada industri tidak pernah berbelah bahagi, malah pengarah prolifik ini pernah memberitahu, dia sanggup untuk meninggalkan kerja-kerja seni sekiranya dilantik sebagai Ketua Pengarah di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Namun, rezeki untuk berada di kerusi 'panas' itu nampaknya masih belum berpihak kepadanya apabila Finas lebih selesa memilih tokoh dari luar bidang seni.

Meskipun tidak berpeluang, namun Ahmad Idham tetap menjadi pemerhati industri yang dilihat semakin hilang arah tuju dalam sistem pengurusan.

Selain bekas presiden Seniman, Zed Zaidi, Ahmad Idham juga adalah individu yang lantang dalam membicarakan mengenai industri dan turut mengkritik kerja-kerja Finas.

Bukan kerana kepentingan peribadi, semuanya dilakukan demi industri bagi memastikan ekosistem seni terus terpelihara dan berkembang maju.

Walaupun kelantangannya itu sering disalah ertikan, namun pengarah filem, Mael Lambung ini tetap terbuka dalam menerima apa jua tekanan.






Namun, sejak akhir-akhir ini, Ahmad Idham lebih selesa mengunci mulut dari terus mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi.

Terbaharu, keputusan menarik diri dari Excellent Pictures Sdn Bhd, sedikit sebanyak memberi pelbagai tanda tanya kepada masyarakat khususnya pengamal industri.

Adakah pengarah Cinderella, ini merajuk dan semakin 'jauh hati' terhadap industri? Namun, ada juga desas-desus mengatakan penarikan diri ini berlaku akibat salah faham bersama rakan kongsinya.

Segala teka-teki itu terjawab menerusi temu bual khas bersama Pengarah Harapan di Festival Filem Malaysia ke 16 (FFM 16) ini.


Sejak ditubuhkan pada 2001, Excellent Pictures meraih kejayaan demi kejayaan menerusi produk-produknya. Apa pandangan anda mengenai syarikat ini?

Tidak dinafikan, Excellent Pictures boleh dikatakan sebagai syarikat produksi yang aktif dalam industri hiburan. Saya bersyukur kerana selain filem dan drama, syarikat ini turut menerbitkan teater. Saya akui, bukan mudah untuk menubuhkan syarikat produksi memandangkan
saya bermula dari bawah. Ini adalah hasil selama tempoh 11 tahun saya berusaha keras dalam industri.

Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba anda menarik diri daripada syarikat produksi itu. Mengapakah anda nekad mengambil keputusan drastik sebegitu?

Secara rasminya, saya meninggalkan syarikat itu pada awal Jun lalu. Namun, Excellent Pictures masih beroperasi dan diuruskan oleh rakan kongsi saya sebelum ini secara 100 peratus. Saya membuat keputusan itu bersebab. Setelah difikirkan masak-masak saya perlu membuat keputusan itu kerana saya dan keluarga telah berpindah ke Johor. Perpindahan ke Johor juga bukanlah saja-saja kerana saya memberi fokus kepada akademi yang baharu ditubuhkan iaitu, Ahmad Idham Film Academy (AIFA) yang terletak di Nusajaya, Johor Bharu.


Pengunduran anda dalam Excellent Pictures memberi pelbagai andaian buat masyarakat malah ada yang mendakwa, ia berpunca daripada pertelingkahan bersama rakan kongsi. Boleh anda jelaskannya?

Sekiranya berlaku perpecahan dalam sesebuah syarikat, ia pastinya akan dikaitkan dengan pergaduhan dan perselisihan faham. Namun bagi saya, semua itu tidak wujud dan perpecahan itu biasa dalam perniagaan. Syarikat itu kini diuruskan 100 peratus oleh rakan kongsi dan saya membuka pusat akademi itu sendiri.

Kami kini membawa laluan masing-masing dengan memberi tumpuan kepada entiti yang berlainan. Tiada istilah pergaduhan atau pertelingkahan malah, sekiranya pada masa hadapan memerlukan kami untuk berkolaborasi, kami pasti akan bekerjasama.

Selain menguruskan AIFA, adakah ada sebab lain sehingga anda memilih untuk berhijrah?

Saya mempunyai anak istimewa yang berusia 14 tahun. Dia adalah punca utama mengapa saya sampai ke tahap ini. Saya berhasrat untuk menghantar anak saya ke Singapura untuk belajar. Sudah lama saya cari jalan untuk membawa dia ke sana dan memberi tumpuan penuh kepadanya.

Kedudukan Johor yang dekat dengan Singapura, tidak menjadi masalah kepada saya untuk berulang-alik setiap hari ke sana. Sememangnya ia memakan perbelanjaan yang tinggi untuk menghantarnya tetapi tidak menjadi masalah kerana saya masih ada syarikat ini untuk menyara keluarga. Sejujurnya, saya sedikit kesal kerana sekolah khas untuk anak-anak istimewa seperti ini tidak terdapat di Malaysia. Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana saya mampu menghantar anak bersekolah.


Mengapakah anda memilih untuk menubuhkan AIFA sehingga sanggup meninggalkan kerusi pengarahan dan penerbitan?

Saya merancang untuk membuka akademi ini sejak dua tahun dan sebab itu, saya telah menyambung pelajaran sehingga ke peringkat PHD. Ini adalah salah satu impian saya memandangkan kerajaan berhasrat melahirkan 50 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi. Saya ingin menyahut cabaran itu menerusi penubuhan akademi ini di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Saya lihat industri ini masih lemah di negara kita dan masih kekurangan kemahiran. Saya tidak mahu syarikat luar yang menubuhkan akademi seperti ini.

Sebab itu, saya mengambil langkah pertama untuk membuka akademi seumpama ini dan ia merupakan masa yang betul dengan pembukaan Pinewood Studios di sana.


Bolehkah anda jelaskan serba sedikit mengenai AIFA? Apakah kelebihan akademi itu?
Pengambilan pertama telah dimulakan pada 19 Mei lalu. AIFA turut menawarkan kursus Produksi Filem/Video di bawah Sijil Kemahiran Malaysia yang dikeluarkan Kementerian Sumber Manusia. Pelajar akan didedahkan dengan segala informasi berkaitan dunia perfileman oleh tenaga pengajar berpengalaman. Selain itu, akademi ini bertujuan menyediakan tenaga kerja berkemahiran dengan saluran pendidikan bersesuaian.

Akademi itu akan menjadi kelebihan kepada pelajar di mana 70 peratus daripada sistem pembelajaran adalah praktikal dan 30 lagi teori. Secara tidak langsung, pelajar akan terus terlibat dalam industri ini dan akan diserapkan kepada syarikat produksi lain selepas tamat pembelajaran.

Pelajar akan bermula daripada vokasional sepenuhnya dan telah diiktiraf oleh Jabatan Sumber Manusia (JSM).

Insya-ALLAH, AIFA akan dirasmikan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.


Masa anda selepas ini akan tertumpu kepada AIFA. Bagaimana pula dengan kerja-kerja penghasilan filem?
Saya akan terus bergiat aktif dalam menghasilkan lebih banyak karya dan filem-filem baharu pada masa akan datang. Tetapi filem itu akan banyak dihasilkan oleh bakat baharu daripada generasi-generasi muda. Sekarang ini, tujuan saya adalah untuk melatih mereka menjadi pemain dalam industri ini pada masa akan datang.

Saya lakukan semua ini adalah kerana tanggungjawab saya sebagai anak seni.
Previous Post Next Post