Neelofa kembali solo


Neelofa

KISAH perpisahan Neelofa dengan pelakon dan penerbit kacak Hans Isaac, sudah diketahui umum. Namun kisah perpisahan mereka terus menjadi tanda tanya walaupun Neelofa sudah mengesahkan hubungan itu sudah berakhir.

Pasangan yang sudah lama sinonim bersama itu, mengambil keputusan untuk mengumumkannya kepada orang ramai secara rasmi hanya pada awal Jun lalu.

Neelofa berkata, perpisahan itu terpaksa dirahsiakan atas permintaan Hans yang belum bersedia serta mahu mencari kekuatan bagi berhadapan kesedihan itu.

"Kami memang sudah berpisah sejak awal tahun lagi, cuma kami tidak bersedia untuk memberitahu umum masa itu.

"Kami sama-sama memerlukan masa untuk betul-betul bersedia menerima perpisahan itu," katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran produk kosmetik fesyen pertama Malaysia, Airish Miracle.

Menurutnya, perpisahan itu diakhiri dengan matang selepas telah mencuba yang terbaik untuk hubungan itu.

Jelas Neelofa, selepas beberapa bulan membawa haluan masing-masing, barulah mereka berbincang dan bersepakat untuk memberitahu umum tentang perpisahan itu awal Jun lalu.

Neelofa berkata, biarlah semua tahu dan jelas tentang hubungan ini sudah berakhir dan dia tidak mahu terus dibayangi dengan nama Hans lagi, kerana nama itu sudah cukup sinonim dengannya sejak dua tahun lalu.

”Saya mahu berterus terang dengan semua orang bahawa hubungan kami sudah putus. Berhubung kenapa Hans terus berdiam diri, saya faham kenapa Hans tidak mahu komen sebab dia sudah lama dalam industri dan selama ini banyak cerita berhubung kisah cintanya yang tidak berpanjangan,” kata Neelofa dengan tenang ketika ditanya berhubung tindakan Hans yang terus mendiamkan diri.

Ketika ditanya sama ada hubungan itu berakhir ekoran orang ketiga, Neelofa menafikan dan enggan berkongsi punca sebenar perpisahan.






“Bukan sebab orang ketiga. Tetapi saya tidak boleh kongsi apa puncanya.

“Saya menghormati dia sebagai orang yang lebih tua daripada saya dan sebagai orang yang banyak mengajar benda baik kepada saya”, ujarnya yang mula intim dengan Hans sejak lebih dua tahun lalu apabila berlakon bersama dalam filem arahan Hans iaitu Lemak
Kampung Santan.

Neelofa berkata, sememangnya setiap perpisahan amat perit untuk dilalui dan tipulah kalau tidak sedih dengan ikatan percintaan yang dibina selama hampir dua tahun itu terlerai begitu sahaja.

Namun, dia perlu meneruskan kehidupan dan kerjaya.

Tunggu restu keluarga

Ketika ditanya adakah dia akan mencari pengganti, Neelofa berkata, dia boleh teruskan hidup tanpa teman lelaki.

“Cukuplah dengan perniagaan yang saya ada dan saya mahu memberi menumpukan perhatian sepenuhnya,” katanya.

Neelofa juga mengesahkan dirinya kini berstatus solo dan tidak terfikir lagi mahu mencari pengganti.

“Tetapi sekiranya ada lelaki yang betul-betul dapat menambat hati saya dan mendapat restu keluarga, saya tidak mahu berlengah-lengah lagi dan akan terus kahwin,” katanya.

Namun jelas Neelofa, ia bukanlah keutamaan dalam hidupnya. Sebaliknya, anak jati Pasir Mas, Kelantan, ini tetap bersyukur kerana mampu mengalihkan tumpuan dengan memberi perhatian kepada perniagaannya.

“Bila sudah solo, saya banyak meluangkan masa hampir setiap hari di pejabat untuk mengusahakan perniagaan.

“Masa itulah saya berjumpa pereka, cari pembekal dan akhirnya kanta lekap, Lofalens dapat dilancarkan awal April lalu,” katanya.

Jelas Neelofa, sebenarnya perancangan untuk membuat kanta lekap itu sudah lama iaitu sejak November tahun lalu lagi.

“Alhamdulillah, saya mempunyai perniagaan sendiri yang mampu untuk mengalihkan tumpuan kepada benda lain, di sebalik kesedihan itu,” katanya yang hanya memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang pengacaraan ketika ini.

Duta Airish Miracle

Neelofa turut dipilih menjadi duta jenama kosmetik fesyen, Airish Miracle selama dua tahun.

“Tahun lalu, Ketua Pegawai Urusan, Airish Miracle, Datuk Aizuddin Ghazali ada datang bertemu untuk meminta saya menjadi duta.

“Selepas itu, mereka bagi saya produk untuk dipakai hampir satu tahun,” katanya.

Menurutnya, setiap kulit adalah berbeza dan kulitnya juga bukanlah dari jenis yang bermasalah tetapi selepas memakai produk ini, ia dapat membantu mengurangkan kulit kusam.

Airish Miracle menerusi Hemma Sakura adalah produk pertama keluaran tempatan yang menggunakan air Reverse Osmosis (RO), sekali gus menjadi kosmetik fesyen pertama di Malaysia.
Previous Post Next Post