R-iF
R-iF merupakan sebuah kumpulan nasyid kontemporari yang dianggotai tiga jejaka iaitu Ridzuan, Azwar dan Bazli.
Mewakili rakan sepasukannya, Khairul Azwar Ibrahim berkata, R-iF membawa maksud ‘Remember Islam Forever’ ditubuhkan pada 2005 oleh Ustaz Khairul Napisham Abd Razak yang juga merupakan pensyarah Politeknik Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Menurutnya, ketika itu anggota R-iF masih lagi dalam pengajian di politeknik yang sama dan pemilihan dilakukan hasil daripada pertandingan nasyid antara jabatan yang diadakan.
“Setelah pemilihan dilakukan R-iF terus bergerak secara sendiri sehinggalah pada 2010, kami berpeluang membuat album pertama yang berjudul Percayalah.
“Dengan kerjasama Pengurus R-iF ketika itu, Zamruddin Muhiddin, kami mulai bergerak secara komersial sehingga kini,” katanya.
Inspirasi kisah Ahmad Ammar
Bercerita mengenai single terbaharu mereka, Khairul berkata, mereka mahu pendengar menerima kelainan yang ingin disampaikan dengan tulisan lirik berinspirasi insan hebat iaitu Allahyarham Ahmad Ammar yang meninggal dunia di Turki.
Katanya, pendengar juga dapat mengenali arwah Ahmad Ammar dan mencontohi perjuangan arwah Ahmad Ammar ketika hayatnya masih ada.
Jelas Khairul lagi, judul lagu Ahmad Ammar dipilih selepas kisah arwah disiarkan secara meluas sama ada di media cetak mahupun elektronik.
“Lagu ini menceritakan seorang pemuda yang patut dicontohi akan keikhlasan dan kejujurannya dalam memperjuangkan agama Islam walaupun berada di perantauan.
“Beliau sangat dahaga akan keredhaan ALLAH dalam setiap pekerjaan yang dilakukan dan meletakan syurga sebagai matlamat utama untuk dituju," katanya.
Khairul berkata, mereka juga tertarik dan kagum dengan catatan akhir Allahyarham yakni ‘perlu ada keredhaan ALLAH dalam amalan kalian, sekiranya ALLAH redha sedangkan seluruh dunia berpaling daripadamu maka itu tidak penting.’
“Ia membawa maksud mencari keredhaan ALLAH dalam setiap amalan dakwah itu mengatasi segala-segalanya di dunia ini berbanding dengan pujian atau kejian manusia.
“Justeru itu, meskipun di dunia ini beliau tidak dikenali oleh sesiapa malah apa yang paling penting adalah kejayaan yang hakiki iaitu di akhirat kelak,” katanya.
Demi lagu tersebut, Khairul bertemu ibu dan ayah arwah Ahmad Ammar untuk mendapatkan kebenaran menghasilkan muzik video dan lagu yang bertajuk Ahmad Ammar supaya anak-anak muda dapat mencontohi akan perjuangan Ahmad Ammar ketika hayat arwah.
Di samping itu, dia turut berkata penghasilan single lagu terbaru R-iF yang berinspirasi insan hebat ini, diharapkan peminat irama kerohanian dapat memberikan sokongan kepada kumpulan itu untuk terus sukses.
“Bukan sahaja dalam menghasilkan lagi lagu yang dapat memberikan kebaikan kepada semua yang mendengar malah, menjadi sumber inspirasi kepada anak muda masa kini,” ujarnya.
Tarik golongan muda
Menurut Khairul, perjuangan kumpulan ini adalah membawa lagu dan mesej-mesej kerohanian.
“Muzik beraliran sederhana yang mana daripada album pertama R-iF berjudul Percayalah terdapat variasi genre yg telah dieksperimentasi seperti Balada, Pop Arab, Dangdut, RnB, Rab & World Music.
“Manakala untuk 2014, R-iF kembali dengan single terbaharu yang berelemen Rock sederhana yang mana dimasukkan live instrument seperti gitar elektrik yang dimainkan oleh Along Exist,” katanya.
Jelas Khairul, harapan R-iF kepada pendengar dan masyarakat di luar sana agar dapat mendengar single terbaru R-iF berjudul Ahmad Ammar.
Berhadapan dengan persaingan ramai band-band baharu yang kian bertambah, Khairul berkata, cabaran yang dihadapi mereka dari segi menghasilkan lagu yang berkualiti dan menarik pendengar.
“Bukan senang untuk menarik golongan muda khususnya bagi mendengar lagu R-iF serta menghayati lirik yang ingin disampaikan.
“Setiap lagu yang kami sampaikan penuh dengan makna dan berdasarkan kisah-kisah benar pejuang yang mati syahid ketika menyampaikan dakwah mereka,” katanya.
Jom layan klip video R-IF - Percayalah