Istiqamah Diana Amir



DEK kerap dijemput sebagai penceramah, membuatkan aktres Diana Amir berhasrat untuk melanjutkan pelajarannya suatu hari nanti.

Mengulas lanjut, Diana memberitahu, selain mempelajari kembali kepada yang asas seperti Bahasa Arab, dia juga ingin menuntut pelajaran dalam bidang yang boleh mendekatkan dirinya kepada masyarakat seperti psikologi.

Begitu pun, kata Diana atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim, kekangan masa membuatkan hasratnya itu terbantut sementelahan lagi suaminya, Mohd Habibbullah A Rahman sedang melanjutkan pelajaran dalam peringkat Sarjana.

"Insya-ALLAH, mungkin akan sambung belajar satu hari nanti.

"Sekarang ini, masa itu macam tak berapa nak ada," katanya ketika ditemui selepas pelancaran saluran terbaharu HyppTV, baru-baru ini.

Menurutnya, sepanjang dia menjadi penceramah, antara topik pilihannya adalah mengenai penghijrahannya, cinta dan keterampilan wanita.

"Saya sampaikannya melalui pemahaman dan pengetahuan yang ada. Saya biasanya tidak menyentuh mengenai hukum-hukum agama.

"Jika ceramah yang berunsurkan keagamaan, saya biasanya akan digandingkan dengan barisan ustaz atau ustazah. Tapi, ceramah saya tetap lebih kepada pengalaman. Bagaimanapun, proses pembelajaran sentiasa berjalan secara berterusan.

"Proses belajar itu berlaku di mana-mana saja, cuma ia perlu diikuti secara beristiqamah," katanya.

Tambahnya lagi, kini dia sering dijemput memberi ceramah motivasi di universiti-universiti dan syarikat korporat.






Selesa jadi pengacara

Sementara itu, ketika ditanya mengenai penglibatannya dalam bidang seni, pelakon Aku Masih Dara ini memberitahu dia kini lebih selesa dikenali sebagai pengacara berbanding pelakon.

"Ramai mengenali saya sebagai pengacara bukan lagi sebagai pelakon.

"Ya, saya menyukainya sebab ia seperti satu peringkat yang sangat berbeza daripada berlakon," katanya.

Meskipun sibuk dalam dunia pengacaraan, namun itu tidak bermakna, wanita berusia 28 tahun ini, sudah melupakan bidang lakonan.

"Masih ada tawaran berlakon. Jika watak dan waktu penggambarannya bersesuaian dengan masa saya, maka saya akan terima.

"Itu semua bergantung pada rezeki masing-masing," katanya yang memiliki jenama pakaian sendiri, Da'e.

Dalam perkembangan lain, Diana kini menjadi pengacara bagi rancangan SIS di TV9 dan Fiqh Wanita untuk TV Al Hijrah. Diana juga baharu saja selesai sesi rakaman program Titian Ombak untuk TV Al Hijrah yang akan disiarkan pada Ramadan ini.
Previous Post Next Post