“SEBENARNYA kami sudah lama kenal tapi bila digandingkan bersama dalam filem Biasan, hubungan kami menjadi lebih rapat.
Tapi ia tidak ada kena mengena dengan cinta lokasi,” kata pelakon, Lana Nordin ketika ditanya mengenai jejaka yang ada bersamanya ketika menghadiri majlis produk kosmetik fesyen pertama Malaysia, Airish Miracle, kelmarin.
Lebih menarik perhatian, jejaka yang dikenali sebagai Mas Khan yang merupakan pelakon drama siri Gerak Khas itu dilihat cukup mesra di sampingnya.
Nafi sedang menjalinkan hubungan istimewa dengan jejaka itu, Lana akui mereka masih dalam proses mengenali hati budi masingmasing.
“Buat masa ini saya belum meletakkan status kami sebagai pasangan yang sedang bercinta lagi pun semua itu terlalu awal buat kami.
“Sebenarnya saya bawa dia ke majlis ini kerana mahu beri pendedahan pada dia untuk berhadapan dengan semua pihak termasuklah media memandangkan dia masih baru,” ujarnya panjang lebar.
Pada masa yang sama, Lana juga tidak menolak keserasian antara dirinya dengan jejaka itu membuatkan mereka kini berteman rapat.
“Walaupun usianya yang masih dalam lingkungan 20-an, tapi apa yang saya lihat, dia seorang yang matang dan ‘easy going’ dan itu membuatkan saya selesa berkawan dengannya.
“Apa yang penting dia memahami dan menerima saya seadanya walaupun sebelum ini banyak kali saya dikaitkan dengan kontroversi,” ujarnya. Penyayang dan lemah-lembut : Mas Khan Sementara itu, Mas Khan atau nama sebenarnya Mas Hidzhir Khan, akui Lana seorang wanita yang penyayang dan lemah lembut.
“Memang pada awal perkenalan, dia agak sombong tapi bila sudah rapat barulah saya tahu siapa dia yang sebenarnya. “Sebagai pendatang baharu dalam industri, Lana banyak mengajar saya dari segi lakonan dan berhadapan dengan pelbagai pihak,” katanya.
Ditanya sama ada dia menerima kontroversi yang pernah dialami Lana sebelum ini, Mas Khan akui tidak mahu ambil pusing perkara yang telah berlalu.
“Mengenai kontroversi Lana sebelum ini, bagi saya ia tidak perlulah diungkit kerana semuanya telah berlalu. Saya tidak mahu memandang cerita lama,” tegasnya.