
AKIM akui dia mendapat banyak tawaran berlakon daripada pelbagai produksi.
BARU-baru ini timbul desas-desus penyanyi yang lahir daripada program realiti, Akademi Fantasia (AF) Akim Ahmad atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, 23, dikatakan telah dipinggirkan dari pihak pengurusannya. Apa sebenarnya yang terjadi sampai begitu sekali Akim diperlakukan.
Akim juga dikatakan berkecil hati dengan sikap pilih kasih yang lebih diberikan kepada artis lain yang bernaung di bawah satu syarikat pengurusan yang sama.
Mungkin Akim rasa tidak berpuas hati sehingga sanggup tidak mahu menghadiri mana-mana acara yang melibatkan pihak pengurusannya.
Elok kiranya ditanya sendiri kepada empunya badan untuk mengetahui hal sebenar apa yang telah berlaku.
HITS: Boleh terangkan apa yang terjadi sampai Akim rasa kesal dan rasa dianaktirikan oleh syarikat pengurusan ?
AKIM: Sebenarnya tak timbul isu saya dipinggirkan atau tidak diberi apa-apa pekerjaan. Cuma bila peminat tengok saya banyak di stesen swasta lain, terus orang ingat saya tidak diberi tawaran.
Jadi kiranya Akim banyak jugalah dapat tawaran yang diurus syarikat pengurusan tersebut ?
AKIM: Banyak juga tawaran yang datang, cuma saya tidak dapat menerima tawaran tersebut sebab terikat dengan komitmen daripada syarikat lain yang terlebih dulu menawarkan kerja tersebut.
Boleh terangkan kenapa Akim sampai kena berjumpa dengan pakar psikologi ? Adakah Akim terlalu tertekan memikirkan kontroversi yang melanda Akim sehinggakan perlu berjumpa dengan pakar ?
AKIM: Sebenarnya, saya ada masalah fobia untuk menaiki kapal terbang yang dikenali sebagai aerofobia, sampai banyak tawaran yang memerlukan saya ke luar negara terpaksa ditolak. Dua tahun lalu sewaktu menaiki pesawat untuk program Fear Factor di Capetwon, Afrika Selatan, saya mengambil inisiatif sendiri untuk berjumpa dengan pakar bagi membantu mengawal penyakit tersebut.
Mungkin sebab itu syarikat pengurusan rasa kurang senang untuk memberikan tawaran kepada Akim disebabkan fobia ini ?
AKIM: Mereka sangat memahami dan tahu akan penyakit saya yang takut untuk menaiki kapal terbang, jadi mereka akan cuba memberikan tawaran kepada saya di dalam negeri sahaja. Cuma itulah, jadual saya terlalu padat, takut tak boleh nak beri komitmen nanti.
Sekarang, Akim rasa ada semangat baharu ke untuk naik kapal terbang lepas berjumpa dengan pakar?
AKIM : Ya. Alhamdulillah kini saya dah boleh menaiki kapal terbang yang jaraknya tidaklah terlalu lama dan kali terakhir saya menaiki pesawat ialah tahun ini. Saya ke Sabah menerima undangan nyanyian di sana.
Perkembangan terbaharu Akim sekarang ini?
AKIM : Saya kini sibuk dengan beberapa penggambaran untuk telemovie hari raya akan datang. Selain itu, single terbaharu saya bersama dengan kumpulan The Majistret, Mewangi telah pun dikeluarkan dan peminat boleh membuat permintaan lagu di seluruh stesen radio.
Sejak bila Akim ada kumpulan sendiri? Boleh ceritakan sikit?
AKIM : Oh..ini sebenarnya projek khas di mana setiap kumpulan yang akan ikut saya buat persembahan akan dikenali sebagai Akim & The Majistret. Ianya tidak terhad kepada satu kumpulan sahaja. Sebelum ini, kumpulan seperti Hyper Act dan Kristal telah bekerjasama dengan saya setiap kali persembahan.