Chacha Maembong Akui Emma Buat Diri Tersepit



Top 5 Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013, Chacha Maembong mengakui dirinya pernah berada dalam situasi dilemma antara kakaknya, Emma Maembong dan syarikat pengurusan kerjaya seninya, Wirefame Entertainment (WFE). Baru-baru ini, Emma dikhabarkan mempunyai masalah dengan WFE dan kononnya telah meninggalkan syarikat itu.

“Saya pernah rasa dilema. Kadang-kadang saya rasa tersepit. Emma kakak saya, WFE pula syarikat pengurusan saya. Tetapi apabila difikirkan semula, walaupun saya dan Emma adik beradik, kerjaya tetap kerjaya dan semuanya harus diuruskan dengan profesional. Saya tidak akan campurkan hal keluarga dan kerjaya.

“Saya sudah berbincang elok-elok dengan Emma dan juga WFE, saya tidak mahu jadi orang tengah. Kerja tetap kerja. Hubungan saya dengan Emma baik, begitu juga dengan hubungan saya bersama WFE.

Kalau ada timbul gosip tidak sefahaman atau bergaduh, tiada kena mengena dengan saya kerana saya menjalankan kerja saya seperti biasa,” kata Chacha ketika ditemui di majlis pelancaran produk kosmetik Airish Miracle di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur pada Isnin.

Mengakui yang dirinya tidak mempunyai sebarang masalah dengan WFE, kerjaya Chacha masih lagi diuruskan oleh WFE dan kontrak antara pelakon drama bersiri ‘Mimpi Cinderella’ dan WFE akan berakhir pada hujung tahun ini.






“Kontrak saya bersama pihak WFE akan tamat pada hujung tahun ini. Buat masa ini, saya hanya mahu fokus dengan kerjaya. Bila kontrak saya akan tamat kelak, baru saya akan fikirkan apa seterusnya, sama ada mahu sambung atau tidak. Buat masa ini, saya tidak terfikir langsung mengenai perancangan masa depan selepas tamat kontrak dan hanya menumpukan pada bidang lakonan,” cerita Chacha.

Kuih Raya Maembong Girls

Bercakap mengenai perancangannya daalm menyambut ketibaan Ramadan yang bakal menjelang tiba, pelakon drama bersiri ‘Playboy Itu Suami Aku’ ini melakukan perniagaan kuih raya atas talian yang diusahakan bersama adik beradik perempuannya.

“Kuih raya yang diusahakan itu bernama ‘Sisterhood Cookies by The Maembong Girls’. Harganya bernilai RM 40 untuk 50 biji kuih. Antara kuih yang kami usahakan ialah semperit, tart nanas, coklat chip almond dan banyak lagi. Sebenarnya kami adik beradik memang sudah lama merancang untuk melakukan perniagaan kuih raya, tetapi tahun ini baru berkesempatan.

“Kuih ini dihasilkan sendiri oleh dua orang kakak saya, Yaya dan Effa. Jika ada kelapangan, saya dan Emma juga turun membantu membuat kuih. Jika ada peminat mahu mendapatkan kuih kami, singgah di akaun Instagram ‘@maembong_girls’. Di situ ada cara bagaimana mahu membeli kuih raya kami,” ujar Chacha mengakhiri perbualan.
Previous Post Next Post