Haris & Chad Dua Bulan Baru Bertemu



HARIS dan Chad masih lagi meniti saat-saat sebagai pasangan pengantin baharu dan berdoa rumah tangga mereka berkekalan sehingga ke hujung nyawa.

Disatukan sebagai suami isteri pada 9 Mei lalu, penyampai Hot FM, Chad dan Haris kini melalui fasa baharu dalam hubungan mereka setelah bergelar suami dan isteri.

Hampir dua tahun berkenalan sebelum bernikah, bukan mudah untuk suaminya, Haris yang nama sebenarnya Mohd Haris Muhamad, gitaris kumpulan Klangit menempatkan dirinya dalam hati Chad atau nama sebenarnya, Nur Shazrena Abd. Rahim.

Malah, hampir dua bulan dia cuba mendekati Chad secara perlahan-lahan ketika itu dengan hanya menggunakan mesej sahaja dan selepas dua bulan, barulah Chad membuka peluang untuk bersemuka dengan Haris.

Semuanya bermula sewaktu program Hot Fm yang diadakan di Terengganu di mana Chad bertugas membawa kumpulan Klangit membuat persembahan.






“Itu kali pertama kami berjumpa dan ketika itu tidak ada perasaan apa-apa pun. Lagipun, pemahaman saya ketika itu adalah saya kenal dia sebagai anggota kumpulan itu sahaja.

“Kami memang tidak rapat pun ketika itu cuma adalah berborak-borak sikit sebab rakan-rakan ketika itu cuba mengusik kami berdua. Jadi itu yang buat saya kenal dan ingat dia," jelasnya.

Tambah Chad, selepas beberapa hari, dia menerima mesej daripada Haris dan daripada situ, mereka mula berhubungan.

Menyambung bicara, kata Chad, hampir dua bulan mereka tidak bersua muka dan hubungan itu hanya terbina melalui mesej sahaja.

“Bukan saya tidak mahu berjumpa dengan dia. Saya tahu dia pun ada niat hendak bersua muka dengan saya tapi disebabkan masing-masing sibuk, itu yang buat sukar.

“Lagipun, sebelum itu saya tidak berani untuk keluar berdua sahaja apatah lagi belum mengenali sepenuhnya.

“Selepas tempoh masa itu, saya mula mengenali hati budinya dan percaya padanya barulah kami bertemu di sebuah restoran di Ampang di mana dia telah merancang satu kejutan untuk saya," jelas Chad.

Ujar Chad, dia terkejut dengan sambutan hari jadi itu kerana itu adalah kali pertama mereka bertemu selepas dua bulan berkenalan.

“Hubungan melalui telefon itu bagi saya nampak yang dia memberi komitmen dalam hubungan kami. Lagipun, saya sebenarnya tidak mahu setakat bergelar kekasih sahaja, saya mahu hubungan dijalin terus ke perkahwinan.

“Lagipun kejutan hari jadi itu sebenarnya dah lewat sebulan. Tapi dia tetap buat untuk saya dan memang ia nampak sebuah sambutan yang kecil sahaja, tetapi itu yang buat saya rasa terharu," ujarnya.

Mengenang semula detik manis itu, empunya diri yang merancang sambutan itu, Haris berkata ia adalah sesuatu yang dirancang sejak awal lagi.

“Sebenarnya restoran itu memang kita boleh gunakan untuk sambutan hari jadi dan itu yang saya rancang untuk sambut hari jadi dia semasa kali pertama kami bersua.

“Kebetulan, saya pula memang ada kenalan dalam restoran itu dan saya usahakan untuk mengadakan sambutan hari jadi biarpun sebenarnya dah terlambat sebulan," jelasnya tertawa mengenang kisah itu.

Jelas Haris lagi, semasa dua bulan itu mereka berhubung melalui telefon, dia ada beberapa kali mengajak Chad keluar sebelum itu, tetapi Chad memberi alasan untuk bawa bersama rakan-rakannya.

“Saya sebenarnya kalau boleh, tidak mahu kali pertama kami keluar bersama dengan rakan-rakan. Biarlah saya bertemu dengannya dahulu dan kemudian barulah boleh bawa bersama rakan-rakan.

“Tapi mungkin ketika itu Chad belum lagi mempercayai saya sepenuhnya, jadi saya terus usaha tetapi tidaklah memaksa sehinggalah dia nampak kesungguhan saya," katanya.

Gemar masak

Sebulan lebih melayari bahtera rumah tangga, pasti ketika ini setiap detik itu masih manis lagi dan perkahwinan itu sendiri telah mengubah sisi diri Chad yang lama.

Menurut Chad, sebelum ini dia bukanlah seorang yang gemar memasak, malah, semasa hidup membujang, dapurnya cukup jarang diusik, semuanya dibeli di luar.

“Sebelum ini, saya sebenarnya tidak tahu memasak. Lagipun, sebelum ini duduk seorang, jadi kalau nak masak pun hanya untuk saya seorang baik saya beli di luar sahaja.

“Tetapi bila dah bergelar isteri, memasak itu menjadi sesuatu yang seronok untuk saya lakukan. Setiap kali waktu makan, saya akan memasak," jelasnya.

Tambah Chad lagi, buat masa ini, waktu kerjanya adalah pada waktu malam, jadi, dia mempunyai banyak masa terluang pada waktu pagi dan petang.

“Kalau pagi dengan petang itu, jika ada waktu terluang sahaja, pasti saya akan ke dapur untuk memasak bagi suami saya. Berbeza dengan dahulu.

“Kalau dulu, hampir keseluruhan masa saya diluangkan di pejabat kerana di sini lebih ramai rakan-rakan saya. Tetapi berbeza kini, kerana saya lebih gemar untuk berada di rumah," ujarnya.

Menambah bicara, jelas Chad, memang dia sebenarnya tidak tahu memasak, tetapi dia belajar daripada ibunya dan adakalanya merujuk kepada resipi di internet.

“Kadang-kadang kalau saya tidak tahu masak, saya akan telefon ibu saya untuk bertanyakan resipi dan cara memasak. Kadang-kadang tengok resipi di internet dan Alhamdulillah, setakat ini, semuanya menjadi," katanya tersenyum.

Satu lagi perkara yang berjaya mengubah dirinya selepas bergelar seorang isteri adalah kini dia cukup peka dengan kebersihan rumahnya.

“Sebelum ini saya duduk seorang sahaja di rumah, jadi hal-hal nak mengemas rumah ni saya pandang remeh sahaja. Bukan nak kata malas, tetapi sebab sibuk dengan kerja, itu yang kadang-kadang kalau balik rasa terus nak rehat.

“Hujung minggu barulah saya akan kemas rumah, hantar baju yang bertimbun-timbun ke dobi. Tetapi kini lain, saya lebih selesa jika rumah kelihatan kemas dan rapi.

“Mungkin terikut-ikut dengan perangai suami sebenarnya sebab Haris ini seorang yang sangat teliti dan pembersih. Itu yang saya pun dah jadi seorang yang pantang lihat benda bersepah," katanya.
Previous Post Next Post