MENGULANGI kejayaan terdahulunya, filem animasi How To Train Your Dragon kembali menemui penonton di layar perak.
Seperti yang sediamaklum, filem ini diadaptasi daripada 12 siri buku cerita kanak-kanak dengan judul yang sama karya penulis British, Cressida Cowell.
Ia berkisar tentang kehidupan puak Viking di kepulauan Berk, di mana seorang budak lelaki bernama Hiccup bersama rakan-rakannya melatih haiwan ganas, iaitu naga untuk dipelihara dan dijadikan haiwan kesayangan mereka.
How To Train Your Dragon 2 membawa penonton menyaksikan kehidupan Hiccup dan rakan-rakannya lima tahun kemudian, ketika mereka sedang menginjak ke alam dewasa.
Walaupun naga pernah menjadi masalah buat manusia suatu ketika dahulu, kini mereka telah dijinakkan dan boleh dibawa pulang untuk tinggalbersama-sama manusia.
Hiccup dan naganya, Toothless, hidup aman dan harmoni dalam dunia Viking bersama rakan-rakan mereka apabila naga dan manusia telah bersatu, malah menjadi sahabat baik.
Kini, dalam How To Train Your Dragon 2 kedua sahabat ini kembali bagi melaksanakan sebuah misi penuh cabaran yang memerlukan lebih keberanian!
Pengembaraan penuh cabaran
Pastinya How To Train Your Dragon 2 ditunggu-tunggu oleh para peminat filem animasi, terutamanya mereka yang telah menonton filem terdahulunya.
Berbaloi dan tidak mengecewakan, ternyata sekuel ini meneruskan kesinambungan kehidupan di kepulauan Berk lima tahun kemudian dengan lebih keseronokan.
Manusia dan naga hidup bersatu dan aman damai tanpa ada sebarang perseteruan.
Menariknya, latar tempat dalam How To Train Your Dragon 2 tidak terhad di kepulauan Berk sahaja.
Penonton akan dibawa mengikuti pengembaraan Hiccup dan Toothless serta rakan-rakan mereka merentasi langit dan lautan yang penuh cabaran serta aksi yang mengujakan.
Ia bermula apabila mereka merencana sebuah cabaran iaitu perlumbaan naga sebagai sukan terbaharu paling popular di kepulauan tersebut.
Dalam masa yang sama, mereka berpeluang menerokai tempat-tempat baharu dan asing serta tidak pernah didiami oleh hidupan lain.
Pun begitu, pengembaraan mereka membawa kepada penemuan sebuah gua ais rahsia yang menjadi tempat tinggal naga-naga liar serta seorang penunggang naga penuh misteri dan mencurigakan.
Penunggang naga tersebut adalah Drago Bludvist, seorang antagonis yang membeli naga-naga yang diculik dan mahu mengumpulkan naga-naga besar untuk dijadikan tentera naga bagi menguasai dunia.
Hiccup dan Toothless berada di ambang pertempuran dan harus mempertahankan kepercayaan mereka, iaitu manusia dan naga perlu bersatu kerana mereka mampu mengubah dua dunia berbeza itu menjadi satu.
Sekuel hebat!
Sebelum ini, kita sering terdengar keluhan mengatakan lazimnya filem sekuel tidak sehebat filem terdahulunya.
Akan tetapi, How To Train Your Dragon 2 mampu memberikanjawapan yang berbeza berdasarkan pengalaman hebat yang ditonjolkan dalam filem ini.
Ia bukan sahaja meneruskan jalan cerita prekuelnya yang sedia menakjubkan, malah menampilkan karakter baharu, penerokaan dunia baharu di samping fokus untuk menyampaikan sebuah kisah lengkap berbanding mencungkil personaliti karakter semata-mata.
Anda perlu menyaksikannya sendiri di pawagam kerana keterujaan menonton filem ini tidak boleh digambarkan melalui kata-kata, apatah lagi apabila ditonton dalam 3D.
Pun begitu, penonton disarankan menonton prekuel filem ini terlebih dahulu agar lebih merasai pengalaman ‘masuk’ke dunia Hiccup, Toothless serta rakan-rakan mereka.
Saksikanlah pengembaraan hebat penuh nilai yang menyentuh perasaan dalam How To Train Your Dragon 2 di pawagam bermula 12 Jun ini!
HOW TO TRAIN YOUR DRAGON 2
PENGARAH:Dean DeBlois
PELAKON: Jay Baruchel, Gerard Butler, Craig Ferguson, America Ferrera, Christopher Mintz-Plasse, Jonah Hill dan Kit Harington
GENRE: Aksi penggambaran/Fantasi/Animasi
DURASI: 102 minit
KLASIFIKASI: P13
TAYANGAN: 12 Jun 2014
KESELURUHAN: ***** GERENTI NAK TONTON LAGI!