Izara Aishah: Jangan Anggap Semua Artis Susah



SETELAH putus cinta, Izara kini mahu memberi sepenuh fokus kepada karier.

LIMA tahun bercinta dan kini kembali sendiri, Izara Aishah tidak melihat mengapa dia perlu tergesa-gesa mencari cinta baharu. Namun belum sempat selesa dengan status itu, timbul perkhabaran kini kononnya hatinya kini sudah dicuri jejaka bernama Adib Khalid. Tidak menolak mengenali Adib dengan rapat, Izara menjelaskan antara dia dan anak tiri kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza itu hanya kawan. Tegas memberi jawapan, Izara atau nama sebenarnya Izara Aishah Hisham 22, juga memberitahu dia adalah seorang yang jujur dalam hubungan. Percaya dengan kata-kata Izara, Hits sangat bersetuju memandangkan sebelum ini juga dia tidak berselindung memberitahu dia dalam hubungan cinta dengan seseorang.






Hits: Berapa lama sebenarnya Izara mengenali Adib?

Izara: Lama, sebab kami kenal dari bangku sekolah. Sebab itu sehingga sekarang masih baik.

Bila ada yang mengatakan, Adib sebagai punca Izara berpisah dengan kekasih lama, apa kata Izara?

Saya mahu nafikan soal itu. Adib langsung tidak ada kena mengena dalam hubungan saya sebelum ini.

Kalau begitu, macam mana boleh timbul gosip Izara dengan Adib pula?

Memang saya ada keluar dengan Adib. Tetapi itu bukan pelik sebab saya keluar dengan ramai orang. Selepas berpisah dengan kekasih, saya cuba menghubungi kembali rakan-rakan lama. Sejujurnya juga, rakan-rakan baik saya ramai daripada kalangan lelaki.

Bila rapat dengan Adib, ada yang mula menunding jari mengatakan Izara seperti mata duitan. Cari anak orang kaya sahaja untuk berkawan. Apa nak kata?

Saya tidak tahu mahu cakap apa kepada orang-orang macam ini. Tetapi pesan saya, jangan anggap semua artis begitu dan tidak semua daripada kami hidup susah.

Jadi gosip yang mengatakan Izara tinggalkan kekasih kerana kekayaan Adib memang tidak benar lah?

Tidak! Kalau mereka kenal siapa bekas kekasih saya sebelum ini, mungkin kisah-kisah macam ini tidak akan timbul.

Jadi macam mana sekarang lima tahun bercinta dan sekarang kembali solo, lain ke rasanya?

Memang lain, tetapi saya okey. Fokus utama sekarang karier dahulu.

Kalau ada orang mahu mendekati Izara buat masa sekarang, apa petua eh?

Hahahaha! Saya tidak fikir lagi soal itu. Maaflah ya, seperti yang saya katakan tadi, bagi peluang untuk saya fokus kepada karier.
Previous Post Next Post