Aliff, Nas mengaku akan berkahwin



PASANGAN ini akan bernikah selewat-lewatnya tahun hadapan.

ADA yang menganggap hubungan antara Aliff AF dan Nas Adila sudah lama putus dan mereka tidak punya apa-apa hubungan lagi. Cinta mereka sudah berakhir, sebab itu Nas Adila pernah digosipkan bercinta dengan lelaki lain, termasuklah biduan Datuk Jamal Abdillah. Semua itu sebenarnya salah sangka. Ini kerana pasangan ini sudah kembali bercinta dan memadu kasih.

Kisah hubungan cinta atau persahabatan mereka yang sebelum ini memberi banyak teka teki kepada pihak lain akhirnya menemui jawapan. Mereka kini sudah mengaku akan berkahwin.

Pertemuan bersama pasangan sejoli ini minggu lalu ketika mereka hadir ke sesi fotografi khas bersama Utusan Malaysia untuk promosi teater bangsawan Bidasari ternyata membuahkan pelbagai cerita menarik.






“Kami sudah kembali bersama. Sudah beberapa bulan lalu, kami jadi pasangan bercinta semula. Kami rasa serasi untuk bersama. Cinta antara kami memang tidak pernah pudar kerana kami sering berdua untuk menjayakan sesebuah persembahan. Lagipun, saya selesa bersama Nas.

“Cerita mengenai soal kahwin, kami mungkin akan berkahwin tidak lama lagi. Kalau bukan penghujung tahun ini mungkin tahun depan," jawab Aliff yakin ketika ditanya berkenaan kemesraannya bersama Nas yang sudah kembali mekar.

Sudah pasti dengan pilihannya, Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Mohd. Razali mengaku dia kini sudah bersedia untuk bergelar seorang suami.

“Perancangan untuk berkahwin sudah dilakukan. Saya memang sudah bersedia ke arah itu. Mencapai usia 28 tahun, sudah semestinya saya inginkan perubahan dalam hidup. Saya rasa usia saya sudah cukup untuk mendirikan rumah tangga dan punya tanggungjawab macam lelaki lain.

“Saya tidak mahu terlalu lewat untuk berkahwin," katanya yang sudah menjalinkan hubungan rapat dengan Nas sewaktu menjayakan pementasan teater Hantu Ketapang, awal tahun lalu.

Berkongsi kisah itu dengan lebih lanjut, Aliff berkata, keluarga masing-masing sudah tahu tentang hubungan mereka dan akan merestuinya jika mahu ia ditamatkan dengan perkahwinan.

Banyak mendiamkan diri ketika dibawa berbicara soal kahwin, Nas, 28, hanya mengangguk tanda setuju. Dia kemudian tidak menafikan bahawa hatinya juga kembali terisi dengan kehadiran cinta Aliff semula.

“Saya juga yakin dan bersedia untuk dijadikan isteri. Apa yang penting, saya harap Aliff dapat terima saya dengan seadanya.

“Kami berdua juga belajar dari kesilapan masa lalu. Apa yang buruk, sudah kami baiki bersama-sama. Saya dan Aliff sudah melupakan apa berlaku sebelum ini dan memandang ke hadapan sahaja.

“Semua masalah yang berlaku dulu, kami cuba tidak mengingatinya seperti tiada apa-apa berlaku. Ternyata selepas itu hubungan kami semakin lama semakin rapat," katanya.

Tiada majlis pertunangan

Semua kerana pernah melalui suka dan duka dan pelbagai ranjau dan onak duri dalam kehidupan, Aliff mengakui dia tidak akan mengadakan sebarang majlis pertunangan.

Kata Aliff, pengalaman putus tunang lebih setahun lalu dengan seorang wanita lain, membuatkan dia takut untuk bertunang sekali lagi.

“Kalau ditakdirkan kena bertunang juga, kalau boleh, saya tidak mahu bertunang lama. Sehari pun sudah cukup. Esoknya dah boleh bernikah. Perit untuk saya kenang kembali apa ayang berlaku kerana dugaan alam bertunang sangat mencabar.

“Saya pun perlu belajar daripada kesilapan. Tidak mahu benda lama bermain dalam fikiran," katanya disambut dengan kata setuju daripada Nas.

Mengaku pernah mengalami perkara sama, Nas juga memberitahu, agak sukar untuknya mengingati kejadian 10 tahun lalu.

“Bayangkan, pada usia muda iaitu 18 tahun, saya sudah bertunang dengan seorang lelaki. Cerita itu memang sudah lama sangat dan ikatan itu hanya mampu bertahan selama tujuh bulan. Sebab itu saya kata, kita sebagai manusia biasa memang tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Banyak pengajaran yang kita peroleh dalam kehidupan masa lalu yang sangat berguna untuk hari ini," ujarnya.

Lupakan Jamal

Tidak mahu terus berdepan dengan kekecewaan, Nas hanya mengharapkan sesuatu yang baik berlaku dalam hidupnya selepas ini.

Berkenaan gosip yang mengatakan dia bakal dipinang Datuk Jamal Abdillah yang timbul sekitar tahun lalu, semuanya adalah bersandarkan kepada andaian semata-mata. Pun, ia berjaya ditepis dengan baik tanpa mencalarkan nama mana-mana pihak.

“Sebenarnya, tiada apa pun antara kami, saya sudah lupakan kisah 'kononnya' bercinta dengan Jamal itu.Sekarang rasa gembira kerana cerita itu juga semakin reda dan orang tidak lagi memperkatakannya.

“Apa yang saya boleh katakan, saya hormati Datuk Jamal sebagai seorang penyanyi. Boleh kata, saya banyak belajar vokal bersama Datuk dalam sesi kerjasama kami bersama.

“Jujur saya kata, Datuk juga pernah mengatakan dia suka menjalinkan kerjasama bersama saya kerana saya adalah penyanyi yang tidak banyak kerenah.

“Seperkara lagi, Datuk sebenarnya sangat meminati suara saya," katanya malu-malu untuk mengaku realiti itu.

Aliff sebagai seorang lelaki juga mempersetujui kata-kata Nas. Tiada alasan untuknya terus berduka mengenang cerita itu. Pendekatan yang diambil adalah dengan berdiam diri dan enggan memberi komen membabitkan gosip buah hatinya mahu dipinang Jamal yang hangat diperkatakan.

“Datuk Jamal menjadi mangsa keadaan apabila timbul khabar angin mengatakan dia mahu meminang Nas. Walaupun tertekan, saya pasti kita perlu mencari kesahihan cerita sebelum menghukum orang lain.

“Selepas Jamal memberi penjelasan, keadaan kembali seperti sedia kala," kata pemuda asal Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini.

Bersatu dalam lagu

Kemesraan mereka bukan hanya dilihat di luar. Mungkin kalau ada yang mendengar lagu hasil duet Aliff dan Nas, pasti akan tahu betapa kuatnya cinta mereka.

Walaupun lagu yang diberi judul Aku Sakit Hati itu menceritakan seseorang yang merasa sakit hati ditinggalkan pasangan masing-masing, semuanya akan dilupakan buat sementara waktu.

Ada yang akan jatuh cinta dengan kelunakan dan kemerduan suara yang dimiliki oleh kedua-dua penyanyi yang merupakan bekas bintang realiti televisyen ini.

Memberi peluang untuk Hits mendengar rakaman lagu ciptaannya dan bakal diedarkan oleh FMC Music itu, Aliff berharap lagu itu akan diterima oleh semua nanti.

“Lagu ini sudah lama dirakam dan baru sekarang ia dikeluarkan. Asalnya, ia merupakan sebuah lagu single nyanyian saya tetapi pihak FMC mahu lagu itu dinyanyikan duet.

“Kata mereka, mahu mengembalikan zaman kegemilangan arwah Achik Spin bersama Nana suatu ketika dahulu.

“Saya mungkin akan mempromosikan lagu ini selepas Hari Raya nanti. Sekarang kami juga sedang menjalankan penggambaran bagi muzik video lagu ini," katanya yang juga akan melancarkan sebuah laman sensawang, selebritimall.com yang menjadi platform untuk golongan artis mempromosikan perniagaan mereka.

DALAM bidang lakonan pula, kedua-duanya memang aktif dengan pementasan teater. Terbaru, mereka berdua akan digandingkan dalam sebuah pementasan teater bangsawan Bidasari arahan Rosli Rahman Adam pada 13 hingga 15 Jun ini di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Teater itu akan menampilkan Aliff sebagai Tengku Indra dan Nas sebagai Bidasari.

Bagi Aliff, rentak lakonan itu masih dicarinya untuk menyesuaikan watak yang dibawa.

“Sebelum ini, saya pernah mementaskan beberapa teater bangsawan dan itu antara tiket bagi saya terus memantapkan lakonan.

“Benda yang paling saya risau adalah menyanyi. Walaupun saya seorang penyanyi tetapi cabaran saya dalam teater ini adalah perlu menyanyi mengikut lenggok klasik. Saya tidak biasa. Sebab itu saya sedia menyahut cabaran itu.

“Bukan mudah kalau saya sudah berlakon yang memerlukan banyak pergerakan mengekalkan momentum untuk menyanyi. Memang payah. Lagi-lagi saya perlu menyanyi ikut rentak klasik. Boleh kata, saya akan mencari lebih penelitian dalam nyanyian.

“Dalam teater ini, saya akan menyanyi lagu Dalam Genggaman dan Erti Cinta," kata Aliff sambil memberitahu dia perlu menonton banyak filem klasik untuk menghayati watak yang dibawa dan cara penuturan bahasa itu.

Menghadapi kesukaran kerana perlu menjadi mangsa dera ibu tiri dalam cerita ini, Nas mengaku dia mengalami banyak lebam di badan.

“Saya ingin beri kepercayaan kepada penonton dalam watak yang saya bawa. Biar mereka jelas perwatakan saya. Sebab itu, semasa latihan saya berikan komitmen 100 peratus. Buat yang terbaik.

“Saya sudah tidak kisah dengan kecederaan yang dialami. Saya sudah berlatih dan cuba menghayati watak dengan lenggok bahasa klasik yang memang bukan sesuatu yang mudah.

“Sama seperti Aliff, saya juga akan menyanyi lagu klasik seperti Nada Merindu, Ketipang Payung dan Patah Hati. Bukan setakat menyanyi, saya juga akan menari.

“Nasib ada asas dalam tarian, jadi ia memudahkan saya untuk berlatih," katanya.

Hanya menonton teater Bidasari yang pernah dipentaskan di Istana Budaya di laman Youtube, Nas juga sudah bersedia untuk dibandingkan dengan pembawa watak Bidasari sebelum ini.

Percaya akan kemampuan dan kelebihan diri sendiri, Nas hanya mahu berserah kepada penonton menilai tahap lakonannya nanti.
Previous Post Next Post