Kisah Tegar sudah dijangka



CERITA sedih mengenai penyanyi ini terus mendapat liputan meluas media Malaysia dan negaranya sendiri. Bayangkan ditipu hasil titik peluhnya, ternyata tanpa ilmu Tegar akan terus menjadi mangsa penipuan.

Sehingga kini penyanyi ini masih lagi sibuk dengan acara harian sebagai penyanyi kalau ikutkan dia sudah setaraf dengan penyanyi popular Indonesia yang lain. Memandangkan ada guru yang akan mengajar penyanyi ini di rumah jadi jadual pembelajaran itu akan disesuaikan dengan jadual kerjanya.

Akui suka belajar, jelas Tegar atau nama sebenarnya Tegar Septian, 13, dia juga perlu faham akan pekerjaannya ini memerlukan pengorbanan. Menjadi tunjang utama rezeki buat keluarganya, bukan sedikit beban yang digalas penyanyi ini.

“Buat masa ini saya masih menyalurkan wang buat ibu saya. Jadi wang itu dibahagikan buat adik-adik saya yang lain. Saya juga turut memberikan sebidang tanah sawah buat ayah (tiri) saya supaya dia boleh usahakan," katanya.






Kalau diikutkan kisah hidup Tegar ini tidak banyak beza dengan sinetron popular di Indonesia. Bermula dengan kemiskinan dan dihadiahkan kemewahan sekelip mata, tentunya ramai yang mahu menunggu kesudahan penyanyi ini kelak.

Hampir tiga tahun mengumpul harta, seperti dijangka ramai pihak dia kini menjadi mangsa penipuan. Bagaimanapun berada di bawah pihak pengurusan baharu, masih ada yang ragu-ragu dengan ketulusan yang dipamerkan.

“Ini pengurusan baharu saya, mengikut perjanjian 50 peratus hasil kerja saya akan diberikan kepada keluarga. Dan selebihnya buat saya. Setakat ini saya sudah mempunyai dua motosikal ekstrem serta tiga buah gitar yang sudah lama saya idamkan," katanya.

Masih dalam fasa yang sukar berbicara, tidak dinafikan dengan umur yang muda, Tegar sehingga kini masih bergantung harap dengan orang dewasa. Jujurnya dengan umur semuda dia, peratusan untuk penyanyi ini terus digunakan itu masih tinggi. Menjelaskan perkara berbangkit ini Arif Dollah sebagai pengurus baharu dia mahu jalankan tanggungjawab sebaik mungkin.

“Pertama kali mengetahui kisah Tegar, saya terus ambil keputusan untuk membantunya. Apa yang saya utamakan kini adalah ilmu, sebab itu saya sedaya upaya mengajar dia Bahasa Inggeris. Soal lain pula adalah keluarga Tegar sendiri. Memang sejak dahulu lagi dia menjelaskan kepada saya punca utama dia sanggup bekerja adalah kerana keluarga," katanya.

Melihat perubahan hidup Tegar kini, Arif tidak menafikan perlu ada kata terima kasih buat mereka yang memulakan kerjayanya ini dahulu.

“Kami tidak salahkan pengurusan sebelum ini 100 peratus, tetapi perlu diketahui ada hak Tegar yang perlu mereka kembalikan.

“Buat masa ini Tegar tidak terlalu terganggu dengan soal itu, selagi dia mampu berikan segalanya buat keluarga tersayang, saya fikir dia puas," katanya.

Sebelum itu Tegar hadir ke negara ini untuk majlis pelancaran album keduanya berjudul Ke Mana Kasih Sayang. Masih terdapat elemen jalanan di dalam video klip terbaharunya jelas Tegar, bukan niatnya untuk terus mempergunakan suasana jalanan tersebut.

“Album kedua ini kisahnya lebih jelas, mengenai kehidupan saya kini.

“Tentang video klip itu pula kalau dilihat betul-betul ada perbezaan. Bukan kisah di jalanan sahaja," kata Tegar.

Previous Post Next Post